Kes bakal haji ditipu: Tindakan perlu tegas terhadap agensi terbabit

Seramai 380 bakal haji yang terkandas di KLIA pada 7 Julai 2022 hampa kerana gagal untuk terbang ke Tanah Suci Mekah.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Tindakan yang tegas perlu diambil terhadap agensi-agensi haji dan umrah tempatan yang terbabit dalam kes penipuan terhadap bakal haji.

Peguam Syarie Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Hafiz Abdul Razak Al Hafiz berkata demikian, merujuk kepada agensi-agensi yang terbukti mengambil kesempatan membuat penipuan terhadap golongan jemaah haji di negara ini.

- Advertisement -

“Kes bakal haji terkandas selepas menjadi mangsa penipuan segelintir agensi-agensi haji dan umrah tempatan boleh dikatakan berlaku pada setiap tahun di negara ini, tetapi tiada tindakan tegas yang dikenakan terhadap agensi-agensi terbabit sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Menurut beliau, berkemungkinan juga tidak ramai bakal haji yang menjadi mangsa penipuan agensi-agensi terbabit sebelum ini berani tampil untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Bakal haji yang menjadi mangsa penipuan sebenarnya boleh membawa kes berkenaan ke mahkamah yang kemudian boleh mengeluarkan satu perintah keadilan kepada agensi-agensi terbabit agar tidak lagi meneruskan operasi; seterusnya ia disita, disenaraihitamkan dan diisytiharkan muflis,” jelasnya. 

Ustaz Mohd Hafiz

Beliau berkata, kerajaan juga boleh digerakkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) untuk menjadi pihak yang terlibat dalam melindungi golongan bakal haji yang terpedaya dengan kes penipuan berkenaan. 

“Mungkin kerajaan boleh berada di sebelah pihak bakal haji untuk memperjuangkan nasib mereka yang menjadi mangsa penipuan agensi-agensi terbabit. Kerajaan boleh menjadi satu pihak yang menyaman agensi-agensi pelancongan ini di  mahkamah,” ujarnya.

Dalan pada Mohd Hafiz menegaskan, biarpun setiap tahun kes penipuan terhadap bakal haji berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia, namun mereka masih lagi alpa, khususnya orang Islam apabila berhadapan dengan pakej-pakej haji  yang ditawarkan agensi-agensi haji dan umrah tempatan.

“Bagi bakal haji yang menjadi mangsa penipuan, kita sarankan supaya mereka membuat laporan di balai polis untuk diambil tindakan terhadap agensi-agensi yang terlibat yang membuat penipuan berkenaan. 

“Kita minta supaya semua yang terlibat mengambil tindakan undang-undang di bawah peruntukan undang-undang yang ada seperti Akta Perlindungan Pengguna, Akta Kontrak termasuk di bawah Akta Industri dan Pelancongan supaya agensi-agensi ini disenaraihitamkan oleh kerajaan supaya tidak lagi berlaku pada tahun yang akan datang yang melibatkan penipuan ini,” ujar beliau.

Katanya lagi, bakal haji sebagai pengguna juga boleh dilindungi di bawah undang-undang pengguna di bawah Tribunal  Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk menuntut ganti rugi kerugian dan keadilan yang mereka hadapi boleh diambil daripada agensi-agensi tersebut. 

“Daripada harta benda agensi tersebut, kita boleh sita dan tuntut agar agensi ini dapat membayar ganti rugi setiap bakal haji yang terlibat.

“Seandainya pihak agensi berkenaan tidak dapat membuat pembayaran terhadap tuntutan tersebut, kita boleh sita harta benda milik mereka dan syarikat (agensi) terbabit.

“Kerajaan juga boleh menarik lesen dan menyenaraihitamkan agensi-agensi yang terlibat dalam kes-kes penipuan bakal haji,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -