Bakal haji jangan mudah terpedaya agensi tawar visa furada

Wan Martina
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Orang ramai di negara ini yang bakal mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah diminta berhati-hati dalam memilih agensi atau sebarang pihak yang menawarkan khidmat visa furada.

Ahli Dewan Negara mewakili Negeri Kelantan, Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, bakal jemaah jangan mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran agensi atau pihak tertentu tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

- Advertisement -

Beliau mengulas kejadian 380 bakal haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, dipercayai menggunakan visa furada diuruskan agensi haji dan umrah terbabit untuk menunaikan haji; dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.

“Kita faham semua orang amat berharap supaya dapat mengerjakan haji di Mekah, Arab Saudi. Lebih-lebih lagi setelah dua tahun tidak dapat tunaikan haji akibat pandemik Covid-19,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Menurut beliau, buat masa ini, sememangnya kerajaan Saudi hanya memberikan kuota jemaah dalam jumlah yang sedikit.

“Oleh itu, dinasihatkan agar semua jemaah haji di negara ini perlu bijak membuat kajian, menilai dan memastikan kesahihan berkenaan visa (furada)  ini sebelum menerima tawaran dan membuat bayaran yang pastinya sangat tinggi,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Visa furada ialah visa yang dikeluarkan oleh Kedutaan Saudi dan lazimnya hanya pihak kenamaan atau  tertentu sahaja memperolehinya. Pada kebiasannya, visa ini diproses beberapa hari sebelum tarikh jemaah haji dijadualkan berangkat ke Mekah. 

Ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang memilih menggunakan visa furada untuk mengerjakan haji dan umrah di Mekah. Kebiasaan mereka yang memilih visa jenis ini adalah kerana enggan menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji atau lewat/tidak mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji. 

Bagi jemaah yang masih bekerja makan gaji, mereka tidak perlu menunggu giliran bilakah tahun untuk mengerjakan haji. Mereka menggunakan visa furada  kerana mahu menyempurnakan rukun Islam kelima itu ketika masih kuat serta bertenaga. 

Di samping itu, mereka juga memilih untuk menggunakan visa jenis ini kerana berkemampuan mahu menunaikan haji lebih daripada sekali dan ada segelintir daripada mereka yang mahu membawa bersama-sama anak-anak mereka yang masih remaja. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -