
SEBUAH kronologi awal untuk yang mahu memahami. Tetapi ‘amaran’ – tulisan ini panjang, tidak sesuai untuk ‘cybertrooper’ yang hanya mahu baca tajuk sahaja.
1. Isu air di Kelantan kembali meletup minggu sebelum raya hingga ke hari ini. Kelihatan amat galak sekali penyokong Umno dan PAN menyerang Kelantan dengan masalah bekalan air. Membaca komen-komen pedas netizen, ramai yang yakin Kerajaan PAS Kelantan akan jatuh. Kerajaan lebih 30 tahun yang membawa legasi perjuangan Islam oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat diharap mereka ia akan akhirnya menyembam ke pasir.
2. Apa sahaja permasalahan yang timbul dan wujud di negeri ini, khasnya berkait air, akan terus menjadi fokus dan tumpuan satu Malaysia. Ia biasa bagi kami, atas apa jua isu. Sedangkan jika di tempat dan negeri lain, apa-apa isu agak sukar untuk heboh. Lihat sahaja isu rakyat di Maran, Pahang yang sudah 30 tahun derita tiada air di banyak lokasi. Kata mereka ia cukup membebankan kerana jika bekalan air ada atau tidak, mereka tetap perlu membayar bil bulanan RM20.
3. Sedangkan isu air Kelantan – adakah baru berlaku kelmarin? Atau baru timbul tahun ini? Atau sejak Kelantan diperintah PAS pada tahun 1990? Ia adalah masalah lama yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu lagi. Ketua Jabatan Pembangunan Teknikal Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pernah menyebut bahawa peruntukan pembangunan bekalan air untuk Kelantan telah disekat bermula tahun 1990. Iaitu seawal PAS diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan. Hanya bermula pada tahun 2003 barulah Kelantan dapat membina loji baru di Chicha. Maksudnya 13 tahun disekat daripada membangunkan dan meningkatkan keupayaan loji air.
4. Kerajaan negeri memohon RM600 juta untuk 5 tahun bagi membangunkan dan menguruskan sistem bekalan air, tetapi diluluskan pinjaman itu untuk tempoh 15 tahun. Negeri lain semuanya diberikan geran secara percuma sehingga RM1000 juta ataupun RM1 billion, malah ada yang lebih. Namun Kelantan, hanya diberi RM600 juta. Itupun pinjaman yang dibahagi untuk tempoh 15 tahun ataupun 3 kali rancangan. Sedangkan keperluan sebenar untuk tempoh 15 tahun ini adalah sehingga RM2 billion.
5. Saya juga teringat apabila Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang, iaitu Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia pada waktu itu, (sekarang beliau sedang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air – KASA) pernah mengulas. Beliau menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM600 juta yang AKSB terima adalah teramat sedikit untuk dibangunkan rancangan pemulihan bekalan air secara efektif. Dengan penduduk negeri Kelantan yang melebihi 1.5 juta orang (pada 2013-2015), jumlah pinjaman RM600 juta ini, yang diberi untuk pembangunan bekalan air adalah teramat kecil dan terhad. Malahan untuk menggantikan paip lama sahaja kosnya berjumlah RM1.1 billion. Bermaksud isu bekalan air ini adalah satu kerja melibatkan kos dan wang yang begitu banyak.
6. Seperti saya sebut, Umno-Barisan Nasional begitu berharap agar isu bekalan air ini akan berterusan dan ianya mampu menjadi modal politik paling utuh menjelang PRU15 nanti. Lihat sahaja RM600 juta pinjaman itu, ia dieksploitasi secara ekstrem. Jumlah itu dikatakan lebih daripada cukup untuk membangunkan sistem bekalan air. Tetapi kerajaan negeri kata mereka; tidak pandai menguruskan wang dengan jumlah ini. Malahan mereka mendakwa wang ini adalah geran percuma! Dan lebih teruk lagi mereka mempertikaikan ke mana perginya wang RM600 juta ini sedangkan masalah bekalan air masih di takuk lama. Adakah ada unsur rasuah, persoal mereka.
7. Perlu diingat, bahawa isu tuduhan berkaitan wang RM600 juta ini juga sudah selesai di mahkamah. Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Che Ali diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada AKSB berhubung kenyataan fitnah tersebut. AKSB dikaitkan dan dituduh dengan penyelewengan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan itu sembilan tahun lepas. Fitnah ini disiarkan oleh akhbar The Star pada 26 April tahun 2012 bertajuk “Murky Waters Over A Million Kelantanese Drink Water that Looks Like This”, yang mana artikel itu adalah jelas tidak benar dan tidak berasas.
8. Ramai yang tidak mengetahui bagaimana pinjaman RM600 juta itu dibelanjakan untuk meningkatkan keupayaan bekalan air di negeri ini. Adakah AKSB yang menguruskan 100 peratus pinjaman ini atau ada pihak lain yang mengaturnya? Ramai yang berhujah di medan alam maya tanpa mengetahui fakta sebenar dengan beranggapan bahawa bantuan kewangan oleh Kerajaan Persekutuan kepada AKSB sebanyak RM600 juta adalah boleh digunakan serta-merta. Padahal ia adalah bantuan secara berperingkat untuk jangka masa 20 tahun dan segala bayaran kepada kontraktor mesti mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dari Kerajaan Persekutuan. Bukannya boleh dibelanja sewenang-wenangnya oleh kerajaan negeri ataupun AKSB.
9. Apakah keperluan AKSB sebenarnya untuk membangunkan sistem yang efektif ini? Seperti yang saya nyatakan pada awal tadi, bermula pada tahun 1990 sehinggalah tahun 2003, AKSB tidak menerima satu sen pun untuk pembangunan air di negeri ini. Ia membawa makna selama 13 tahun, pengurusan sistem air berada di bawah paras yang memuaskan. Dan semasa pinjaman diberi oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 itu, AKSB sebenarnya memerlukan RM2 billion untuk menguruskan kembali ‘lost development years’.
10. Dan terkini, Kelantan memerlukan lebih RM7 billion bagi rancangan pembangunan melibatkan kerja-kerja untuk menguruskan semula ‘lost development years’ itu bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3 peratus setiap tahun. Juga membuat persiapan bagi jangkaan permintaan masa hadapan dengan unjuran 20 tahun akan datang. Ini tidak termasuk rancangan ‘upstream’ ataupun sumber air yang biasanya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan secara geran, pembinaan empangan bawah tanah dan struktur lain. Iaitu bagi memastikan sumber air mencukupi untuk 50 tahun yang akan datang.
11. Berkaitan dengan aduan beberapa pengguna yang mengatakan air paip terasa agak payau satu masa dahulu, penjelasan juga ada diberikan oleh pegawai-pegawai AKSB. Sungai Kelantan, sejak berpuluh-puluh tahun aras minimum tahunan yang dicerap di kawasan Pasir Mas, tidak pernah turun sehingga di bawah 1.0 meter walaupun sewaktu kemarau. Namun selepas tahun 2010, ia semakin jelas turun sehingga 0.20 meter. Kesannya adalah air laut mula merayau masuk ke kawasan Sungai Kelantan. Kehadiran garam di dalam air Sungai Kelantan pada bulan Mac 2016 boleh dikesan sehingga ke Jambatan Tendong. Kesan penurunan paras air sungai ini serta risiko air masin memaksa KADA melalui MOA merancang dan membina satu empangan rendah atau ‘low weir’ di Kampung Kubang Pak Amin, Kasa dengan kos melebihi RM40 juta.
12. Air Kelantan akhirnya migrasi ke bawah rejim SPAN pada 14 September 2016. Maksudnya sehingga tahun itu, enam negeri telah migrasi ke rejim SPAN iaitu Johor, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan di bawah rancangan nasional untuk melestarikan perkhidmatan air. Kelantan bakal memperoleh banyak manfaat di bawah rancangan ini dalam usaha untuk membangunkan projek projek bekalan air kepada rakyat. Namun, sejak 2016 hingga kini 2022, tiada satu pun lagi loji besar yang siap walaupun telah berada dalam status negeri migrasi. Kenapa? Mengapa? Apa? Jawapan wajib dicari untuk semua persoalan ini!
13. Jadi, terima kasih buat Umno. Isu selut dan karat yang keluar daripada paip kami sejak sekian lama adalah disebabkan sikap ‘double standard‘ Kerajaan Persekutuan zaman Umno. Puluhan tahun Kelantan diburuk-burukkan dengan isu air, akan tetapi rakyat dan pengundi kekal setia dengan terus memberikan mandat kepada PAS untuk mentadbir. Rakyat tahu selut ini bukan sekadar datang dari Hulu Kelantan, rakyat sedar karat ini bukan semata-mata terkakis dari saluran paip. Tetapi punca besarnya adalah akibat diskriminasi Putrajaya zaman Mahathir dan parti Umno peneraju Kerajaan Persekutuan ketika itu.
14. Pesanan saya juga kepada orang lama dalam Umno, sampaikanlah pesanan kepada anak-anak muda generasi baharu dalam parti kalian yang kelihatan seronok sekali menghentam Kelantan kerana ada masalah air. Sedangkan mereka lupa, segala kesukaran pada saat ini, adalah kesan daripada diskriminasi Umno sendiri dahulu. Zaman telah berubah, watak politik sayap-sayap parti juga berubah, namun sejarah tidak akan berubah. Fakta dan rekodnya begitu. Jangan mudah menjadi taksub menonong.
*Dikemaskini daripada satu artikel lama tahun 2016
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 8/5/2022




















