
SAYA merujuk kepada satu kes perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah yang melibatkan layanan yang buruk diberikan kepada kanak-kanak di bawah perlindungan pusat jagaan tersebut sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang teruk. Kes ini telah menarik minat rakyat untuk mengikutinya lebih-lebih lagi mangsa adalah merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Bagi menghormati perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, saya percaya tiada keperluan untuk mengeluarkan komen-komen yang mungkin mengganggu perjalanan kes ini di mahkamah. Saya menjunjung terhadap prinsip kebebasan sistem kehakiman negara kita yang akan memberi keadilan yang sewajarnya kepada kedua-dua pihak yang terlibat.
Namun, pada masa yang sama, saya ingin menyatakan sudah tiba masa agar urustadbir pemantauan terhadap pusat-pusat jagaan kanak-kanak ini diperketatkan dan dilakukan pemeriksaan mengejut dengan lebih banyak oleh pihak berkuasa. Pada waktu ini, kes-kes seperti ini telah menimbulkan kerisauan kepada para ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak dan seterusnya memerlukan penyelesaian drastik dari pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Saya juga berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya mewajibkan setiap pusat jagaan kanak-kanak dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup atau CCTV bagi tujuan pemantauan berterusan terhadap segala aktiviti yang dilakukan oleh kakitangan pusat jagaan kanak-kanak. Bahkan, segala rakaman tersebut juga boleh digunakan untuk perbicaraan di mahkamah sebagai bahan bukti pada bila-bila masa.
Saya juga memohon agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempertimbangkan agar menambah bilangan penguatkuasa di Jabatan Kebajikan Masyarakat agar pemantauan terhadap pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara dapat dilakukan secara berkesan. Saya berharap dengan segala inisiatif yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan dapat menaikkan tahap keyakinan rakyat terhadap kualiti pusat jagaan kanak-kanak di negara kita selepas ini.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 25/4/2022




















