Isu ‘clamp’ tayar: Di sebalik parkir Kota Bharu

- Advertisement -

SISI pandang isu ‘parking’ di Kota Bharu yang digegerkan sejak dua tahun lalu seadilnya perlu dilihat dalam dua kaca mata. 

- Advertisement -

Satunya pandangan baik, bagus, mendidik rakyat, disiplinkan pemandu, elak kesesakan lalu lintas, susun atur perbandaran yang kemas. Ataupun satu lagi ia boleh dilihat secara hodoh seperti zalim, jahat, tiada timbang rasa, menyusahkan, negeri acah berkebajikan, lapar duit.

Ada pilihan; membawa matlamat murni yang positif demi kebaikan awam atau sengaja melemparkan konotasi negatif serta menyembunyikan banyak hal lain di sebaliknya demi menang kepentingan diri. 

Selain sudut pandang, pengkelasan kumpulan mereka ‘yang memandang’ dalam kalangan pemberi komentar, penilai, penganalisis dan seumpamanya juga perlu diambil kira. Jika ia datang daripada pihak berkepentingan seperti penyokong parti lawan, maka apa jua yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, tidak akan ada satu pun yang bagus dan betul.

Jika ia pandangan rakyat biasa, yang mindanya tiada kepentingan sempit mana-mana pihak, maka banyak perbahasan dan perbincangan terhadap pro-kontra hal ini dapat kita bentangkan atau adili sewarasnya.

Peraturan dan undang-undang

Asasnya semua negeri dan kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memiliki peraturan dan undang-undang sendiri. Semuanya digubal untuk kebaikan warga dan indikator kepada ketamadunan.

Bahkan dalam isu pematuhan trafik dan ketenteraman awam, pihak PDRM dan JPJ lebih banyak mengeluarkan saman dan kompaun kepada pemandu dan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan. Samannya berjumlah dan berkuantiti jauh lebih tinggi daripada yang wujud dalam isu saman di Kota Bharu.

Tiada siapa yang mahu kata PDRM zalim atau JPJ jahat kerana rakyat tahu sudah pasti ada kesalahan yang dibuat oleh mereka yang disaman itu. Kalaupun ada khilaf atau kelemahan serta kesilapan oleh pihak berkuasa, tetap wujud ruang budi bicara dan mereka juga boleh mempertikaikan tawaran kompaun serta saman berkenaan dalam mahkamah.

Begitu juga dalam isu saman di Kota Bharu yang mana sekiranya wujud kesilapan oleh pihak syarikat pengurusan parkir, saman itu boleh dan wajib dibatalkan. Ini bukan isu jenayah yang wajib tegas kerana adanya ancaman atau gugatan, tapi disiplin ke atas integriti kemanusiaan yang diluruskan secara penerapan atau didikan.

Cuma dalam banyak kes ‘viral‘ sebelum ini, walaupun berjaya menarik ribuan netizen datang ‘menyokong’, ‘like and share’, sebenarnya pemilik kenderaan disaman itu memiliki fakta kes yang terang jelas. Mereka yang disaman memang melakukan kesalahan. Bahkan ada yang dikunci tayar keretanya selepas mempunyai rekod puluhan saman kesalahan lalu lintas sebelum daripada ini, tetapi diingkari atau tidak diselesaikan.

Malangnya dengan isu ini, dipilih sikap dan gejala untuk menghambur dan memarakkan segala tohmahan, kebencian, caci maki kepada Menteri Besar, kepada Kerajaan Negeri, MPKB-BRI dan menyindir jelik pula kepada pentadbiran Islam.

Mereka seolah-olah kebal dalam melakukan kesalahan parkir selama masa ini dan meninggikan ego ‘ikut suka aku’ hinggalah saman-saman tertunggak menatijahkan kepada penguncian tayar kenderaan. Maka mulai bangun berdiri memukul dada meraung mencari simpati sebagai mangsa undang-undang?

Pernahkah kita dengar mereka yang tertunggak sehingga belasan saman PDRM, menangis melolong mengatakan mereka mangsa pihak polis dan melemparkan konotasi polis melakukan penindasan atau kejahatan?

Atau apabila disaman dan dikompaun polis, mereka mengheret naratif sehingga menyalahkan Perlembagaan Negara bahkan mengungkit peranan Suruhanjaya Reid? Hal inilah sepertimana berlaku dalam komen dan kritikan apabila penguatkuasaan peraturan parkir dilakukan di Kota Bharu. Mereka melalut dan meracau melakukan lelucon serta menyindir asas pentadbiran Islam yang Kelantan pelopori.

Kesan langsung ketegasan

Ramai yang puji parkir kereta di Kota Bharu kini jauh lebih bagus berbanding tahun-tahun sebelumnya. Rakyat yang juga pengguna jalan raya, pemandu kereta semakin berhati-hati untuk meletakkan kenderaan mereka secara semberono atau sewenang-wenangnya.

Tiada lagi masalah kenderaan diparkir secara berselerak seperti sebelum ini. Para pelancong luar yang datang merasa kagum dengan keteraturan kenderaan dalam bandar.

Bilangan mereka yang dikunci tayar kerana degil atau cuai hanyalah sedikit sahaja, namun ‘suara’ mereka diperkuatkan dan direncah di media sosial. Kenapa majoriti pengguna yang baik, bagus, akur dan berdisiplin dalam memarkir kereta tidak pula kita puji? 

Adakah kita lebih suka dan gemar orang parkir kereta belakang bonet kenderaan kita? Contohnya kita selesai membeli di pasar, apabila mahu pulang ke rumah, rupa-rupanya ada pemandu bebal yang meletak kenderaannya sesuka hati di belakang kereta kita. 

Atau kita tak kisah melihat ambulans yang gagal melalui sesuatu lorong untuk mengambil pesakit, atau jentera bomba tidak melepasi laluan apabila ada pemandu yang meletakkan kenderaan merintang-menghalangi jalan.

Sebanyak 7,000 petak parkir di Kota Bharu dibuat dengan pelbagai perkiraan. Kotak parkir tidak diwujudkan secara wewenang tetapi dari asas kajian. Di mana boleh ada petak, berapa bilangan yang boleh dan muat, jarak dengan pusat ekonomi atau pejabat berkaitan serta banyak lagi asas asas perkiraan telah dilakukan.

Perkiraan paling utama tata letak parkir diadakan adalah aspek keselamatan kenderaan dan pemandu serta penumpang itu sendiri, pengguna pelbagai jenis kenderaan besar kecil lainnya, pejalan kaki. Serta kelancaran lalu lintas menerusi jalinan sistem diwujudkan seperti lampu isyarat, aliran laluan dan sebagainya.

MPKB dan Vista Summerose Sdn Bhd

Teknologi, mesin membayar parkir serta penggunaan aplikasi (apps) oleh syarikat luar ini memang tidak boleh dinafikan. Ia telah banyak memudahkan pemandu dalam proses parkir kenderaan serta pembayaran token. Mesin pembayaran wujud di mana-mana sahaja, bahkan boleh dibayar secara ‘online’ sahaja ketika aplikasi sama belum digunakan di bandar-bandar besar lain dalam Malaysia. Mudah kan?

MPKB-BRI pula dengan adanya sistem dan operator sebegini, telah dapat menstabilkan pendapatan serta menambahkan kecekapan dalam bidang pengurusan PBT yang lainnya. Hasil kutipan ini sudah pasti dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk manfaat yang diwujudkan dalam pelbagai bentuk perkhidmatan atau pembangunan. Daripada rakyat kepada rakyat, dan dari sisi Islam, ianya mengalirkan pahala atas kebaikan yang dilakukan.

Cuma di sana, diakui masih wujud ruang-ruang yang boleh diperbaiki dan dibuat koreksi oleh pihak operator. Peranan pengguna memberi saranan cadangan atau teguran sentiasa terbuka. Dalam kesibukan mengejar KPI pekerja mereka, dan keterujaan mencapai target serta sasaran tertentu, perlu ada sela dan kelegaan dalam budi bicara atau toleransi.

Rakyat mahu berdisiplin dan mahu melihat bandar Kota Bharu yang mereka sayangi ini kelihatan teratur dan bersistematik. Tetapi operator parkir juga haruslah menunjukkan sikap inklusif yang tinggi.

Ini amat penting kerana apa jua sikap dan integriti yang dipamerkan, akan terus terkait langsung dengan kerajaan negeri. Sikap profesional operator, akan membawa imej baik kepada pimpinan kerajaan. Begitu juga sebaliknya.   

Asasnya, disiplin dan kepatuhan kepada peraturan PBT wajib kita akur tidak kiralah sama ada parkir diurus oleh MPKB-BRI sendiri, atau operator yang ada kini atau siapa sahaja. Betul kan? Kerana disiplin dan kepatuhan sama-sama kita jayakan adalah untuk manfaat semua.

Dua minggu kelonggaran

Terbukti Kerajaan Negeri Kelantan yang menjulang pentadbiran ‘Membangun Bersama Islam‘ sentiasa berusaha memartabatkan ketinggian nilai keinsanan. Petang tadi, Yang Dipertua MPKB-BRI mengumumkan arahan Kerajaan Negeri kepada semua PBT supaya tidak mengunci tayar kenderaan yang melakukan kesalahan trafik tersebut. 

Dalam tempoh dua minggu ini iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidil Fitri, Kerajaan Negeri mengarahkan penguat kuasa PBT menggunakan pendekatan memberi nasihat kepada pemilik. Pengguna akan diingat supaya tidak meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan hingga boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas atau jalan menjadi sempit.

Pun begitu, tindakan saman akan tetap dikenakan oleh penguat kuasa PBT kepada perbuatan ingkar meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan, termasuk oleh pihak polis terhadap kesalahan trafik lainnya jika berkeras dilanggari.

Bermakna, Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan kepulangan anak perantauan dan ingin mengajak seluruh rakyat bersama menjadikan Aidil Fitri ini penuh riang ceria penuh kesyukuran selepas sebulan di Madrasah Ramadan menggilap ketakwaan. 

Oleh itu masing-masing perlu bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri hingga mengabaikan peraturan ditetapkan. Kerana sikap individu boleh sahaja mengundang kesusahan kepada ramai orang lain yang tentunya juga akan merosakkan hari kegembiraan sedang dirai.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob atas keputusan ini, juga Exco PBT, Dr Izani Husin atas kesungguhan dan keprihatinan ini. Terima kasih juga atas komitmen pasukan YDP MPKB-BRI, Rosnazli Amin dan PBT-PBT seluruh Darul Naim, serta pihak operator Vista Summerose Sdn Bhd.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -