
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
MARANG: PAS menegaskan tidak terlibat dengan pendedahan dokumen ‘PASleak’, serta menganggapnya sebagai ‘surat layang’ yang tidak perlu dilayan.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah membuat kenyataan dan cukup dengan itu.
Kata beliau, PAS menyifat dakwaan kebocoran dokumen PASleak itu sama seperti surat layang yang tidak diketahui siapa pembuatnya.
“Itu surat layan, Dr Sam (Samsuri) sudah jawab, surat layang tak perlu kita layan.
“Surat itu siapa dia yang buat? Sebab itu kita tak tahu, tiada guna kita layan surat layang ini. Kita jadi melayan sama,” ujarnya ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.
Malah, kata Presiden PAS itu hubungannya dengan Perdana Menteri baik, tidak tergugat dengan surat layang dan sentiasa ada perbincangan dengan pemimpin itu.
“Terus hubungan, kita bincang dengan dia (Ismail Sabri) secara terperinci, kita tak perlu layan surat-surat layang ini. Insya-Allah tidak menggugat.
“Surat layang ini tak tahu siapa dia buat, cumanya dia tanggunglah dengan Tuhan. Kita orang Islam percayakan (dosa pahala), bulan puasa pula,” jelasnya.
Ditanya bahawa Presiden Umno ada buat laporan polis tentang surat layan itu, apakah PAS akan mengambil tindakan sama, katanya terpulang kepada pemimpin parti itu.
Katanya, terpulang kepada pemimpin parti itu dan dari segi perundangan surat layang tidak boleh dijadikan bukti.
“Ikut suka dia lah, Saya rasa ‘loyar’ buruk je yang layan dengan surat layang ni. Dari segi undang-undang pun tak lekat surat layang ni,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Selain itu, beliau ditanya apakah PAS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, menentang Barisan Nasional (BN), ujarnya Setiausaha Agung PAS, Datuk Serio’ Takiyuddin Hassan sudah jelas.
Tambah beliau, kenyataan Takiyuddin sudah jelas dan kerjasama hanya dengan parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan sedia ada hari ini.
“Kita sudah kerjasama 20 tahun lebih, cukuplah masa tu. Kita buat kerjasama lainlah, sehingga ini dengan parti-parti gabungan PN dan dengan Umno yang jadi Perdana Menteri.
“Kita akan usahakan biar kekal (dengan PN) dan dengan PH tidak berulang,” ujarnya lagi.
Menurutnya, kerjasama PAS pernah terjalin dengan parti-parti politik pembangkang dalam PH dan tidak lagi selepas itu. – HARAKAHDAILY 22/4/2022




















