
Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Penindasan secara haram dan berterusan rejim zionis ke atas umat Islam di Palestin tidak boleh dipandang sepi.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata umat Islam adalah bersaudara di atas satu kalimah syahadah yang mana wajib ke atas mereka mempertahankan sesama saudara di sana apabila diserang dan dizalimi.
Katanya, isu rakyat dan bumi Palestin diserang saban tahun di bulan Ramadan mengingatkan bahawa umat Islam mesti bersatu dan bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dan negara.
“Serangan zionis Israel ini mengingatkan kita kepada berlakunya peperangan Badar yang berlaku pada 17 bulan Ramadan yang memberi kemenangan kepada tentera Islam.
“Sudah sampai masanya tentera negara umat Islam bersatu bagi mempertahankan negara Palestin,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Menurutnya, kempen dan kesedaran wajar dipertingkatkan di negara ini untuk mempertahankan rakyat dan negara Palestin.
Selain itu, katanya, usaha melobi negara Islam agar bersatu mempertahan Palestin mesti digerakkan secara tersusun dan berstrategi serta berkesan.
“Usaha juga mesti digerakkan di peringkat global agar negara yang bukan Islam menolak segala bentuk keaganasan kepada rakyat dan negara.
“Kesatuan pemimpin negara umat Islam juga wajar diperkuatkan bagi mempertahan segala ancaman kepada negara anggota dan membentuk blok ekonomi yang akan memberi tekanan ekonomi kepada negara zionis Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2022











