
KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik keputusan Umno mencadangkan agar Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagaimana buat masa ini parti itu mendukung serta menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri kesembilan itu, PAS mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan.
Ini, ujarnya kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.
“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, PAS juga yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak pembangkang yang pada umumnya yang berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14 akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Ismail Sabri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata.
Petang semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15.
Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, kesepakatan itu ialah antara beberapa perkara diputuskan pada yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – HARAKAHDAILY 15/4/2022




















