Korban tanah runtuh, banjir di Filipina cecah 148, ratusan masih hilang

Pasukan penyelamat mengumpul beg mayat yang mengandungi mayat, mangsa tanah runtuh yang melanda perkampungan Pilar pada 14 April 2022, beberapa hari selepas hujan lebat yang dibawa oleh ribut tropika Megi membanjiri bandar itu. – (FOTO AFP).
- Advertisement -

MANILA: Sekurang-kurangnya 148 orang terkorban dan ratusan lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh dan hampir 200 banjir susulan terjahan ribut tropika Megi (atau nama tempatannya, Agaton) yang melanda Filipina pada 10 April lalu, dengan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pihak berkuasa Filipina dalam kenyataannya pada lewat Khamis (14 April) berkata, kebanyakan mangsa yang maut adalah dari Baybay City, sebuah bandar di wilayah tengah Leyte, 599 kilometer di selatan Manila di mana 86 mayat telah ditemui daripada tanah runtuh.

- Advertisement -

Lebih 240 orang cedera, manakala kira-kira 204,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka ketika arus banjir deras yang melanda kampung yang turun dari kawasan pergunungan berhampiran susulan dilanda hujan lebat.

Pasukan penyelamat ketika ini masih meneruskan kerja-kerja menggali lumpur tebal dan tanah untuk mencari mangsa yang masih hilang di Baybay City dan kawasan perbandaran Abuyog di wilayah Leyte dengan jumlah yang tidak dapat ditentukan.

Sementara menurut Jabatan Biro Cuaca Filipina, ribut Megi yang melanda sebelum telah menghilang di kawasan bertekanan rendah, dan cuaca dijangka bertambah baik di kawasan terjejas.

Imej rakaman dron yang dirakam di lokasi berhampiran Baybay City, di wilayah Leyte, Filipina pada 11 April 2022. (FOTO As You Wish Photography/melalui REUTERS)

Agensi bencana negara itu pula mengeluarkan kenyataan bahawa ribut berkenaan telah merosakkan kediaman, infrastruktur serta industri tanaman dan ternakan di kawasan terlibat yang bernilai dianggarkan mencecah 137 juta peso (RM11 juta).

Keadaan di wilayah Leyte adalah yang paling teruk terjejas, dengan tanah runtuh yang memusnahkan  serta menghancurkan komuniti pertanian dan nelayan, memusnahkan kediaman penduduk dan mengubah landskapnya.

Wilayah itu sering dilanda bencana kerap dilanda ribut, termasuk oleh Taufan Super Haiyan pada tahun 2013,  dengan para saintis memberi amaran bahawa risiko taufan yang semakin  kerap akan melanda apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim.

Seorang mangsa yang masih hidup selepas tertimbus dalam runtuhan tanah diselamatkan petugas keselamatan di Baybay City, Leyte, Filipina pada 13 April 2022 (FOTO AFP)

Dalam pada itu, pasukan kecemasan Abuyog telah menemui berpuluh-puluh mayat di perkampungan pantai Pilar, yang musnah akibat tanah runtuh pada Selasa (12 April) lalu.

“Sekurang-kurangnya 42 orang maut dalam tanah runtuh yang melanda tiga kampung di perbandaran Abuyog,” ujar kenyataan pihak polis tempatan. 

Tambah kenyataan itu, kebanyakan mangsa yang terkorban adalah di Pilar, dengan sekurang-kurangnya 28 mayat telah dibawa dengan bot ke kawasan berpasir berhampiran bangunan kerajaan perbandaran selepas jalan menuju ke penempatan itu terputus akibat tanah runtuh.

Kesan tanah runtuh di kampung Kantagnos di Baybay City, Leyte, Filipina dirakam pada 13 April 2022. (FOTO Inquirer.net)

Sementara itu, lebih 100 orang masih hilang, dan Datuk Bandar Abuyog, Lemuel Traya memberitahu AFP bahawa terdapat sedikit harapan untuk mencari mangsa lain yang berkemungkinan masih hidup di kawasan perbandaran Abuyog.

Foto yang dirakam dari udara menunjukkan hamparan lumpur dan bumi yang luas yang telah menghanyutkan apa yang ada di atas gunung ke laut, dan menghancurkan segala yang dilalui dalam perjalanannya, dengan serpihan kediaman penduduk terutamanya bertaburan di sepanjang pantai.

Cuaca buruk dan lumpur tebal juga telah menyukarkan usaha mencari semula di Pilar, di mana tanahnya tidak stabil. Anggota penyelamat juga sedang melakukan kaedah menyisir pantai selepas beberapa mayat dihanyutkan beberapa kilometer jauhnya oleh arus laut.


Penduduk dipindahkan oleh penyelamat di sebuah perkampungan di Panitan, pulau Panay, Filipina pada Selasa 12 April 2022. -(FOTO AP)

“Ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Ia boleh berlarutan selama beberapa hari,” ujar Traya memberi amaran.

“Ramai daripada mangsa yang maut telah mendaki ke tempat yang lebih tinggi untuk mengelak banjir kilat, tetapi malangnya mereka diterpa oleh aliran arus deras yang turun dari gunung yang dinaiki mereka itu,” ujar seorang penduduk kampung kepada AFP.

“Bunyinya seperti helikopter,” kata seorang ahli majlis Pilar, Anacleta Canuto, 44, menggambarkan bunyi yang dihasilkan oleh tanah runtuh di kawasan terbabit.

Canuto, suaminya dan dua anak mereka terselamat, tetapi mereka kehilangan sekurang-kurangnya sembilan saudara-mara yang lain.

Lokasi kesan tanah runtuh di Baybay City di wilayah Leyte yang dirakam pada 11 April 2022. (FOTO As You Wish Photography/melalui REUTERS)

Seorang nelayan di Pilar, Santiago Dahonog, 38, berkata, dia bergegas ke laut bersama dua adik-beradiknya dan seorang anak saudara ketika tanah runtuh menghempap kediaman mereka.

“Kami keluar dari rumah, berlari ke laut dan mula berenang. Namun, hanya saya adalah satu-satunya yang terselamat,” ujarnya sayu.

Sementara pihak berkuasa tempatan di bandar Baybay berkata, seramai 86 orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi cedera di perkampungan yang terkenal dengan industri pertanian sayur-sayuran, padi dan kelapa di sekitar bandar itu dalam kejadian tanah runtuh dan banjir  pada hujung minggu itu.

“Sekurang-kurangnya 117 masih hilang di bandar Baybay. Namun, antara yang turut paling teruk terjejas ialah di kawasan perkampungan Kantagnos, yang mana 32 orang terkorban dan 103 masih belum ditemui,” ujar kenyataan itu.

Pemandangan dari udara menunjukkan kediaman penduduk yang musnah akibat tanah runtuh yang melanda perkampungan pantai Pilar di bandar Abuyog, wilayah Leyte, Filipina pada 12 April 2022. FOTO AFP)

Sementara di perkampungan Bunga berhampiran Kantagnos, 17 orang terkorban apabila tanah berair jatuh ke bawah bukit dan menghempap kediaman penduduk di tepian sungai. Hanya beberapa bumbung yang kelihatan di dalam lumpur yang sudah mula berbau daging busuk.

“Tiga orang turut lemas di pulau utama selatan Mindanao, dan seorang maut di wilayah tengah Iloilo,” kata agensi bencana negara dalam kemaskini terbaharunya.

Sementara tiga lagi kematian yang dilaporkan sebelum ini di wilayah tengah Negros Oriental digugurkan daripada pengiraan selepas mereka didapati tidak berkaitan dengan ribut itu. – Agensi

- Advertisement -