Adun baik pulih rumah penduduk lumpuh akibat kemalangan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pusat Khidmat Dun (PKD) Demit berusaha membaik pulih kediaman seorang penduduk Muhammad Rosdi Sefai, 27, yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan tempat kerja tahun lalu.

Adun Demit, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, bantuan itu diberikan di bawah program baik pulih kediaman bagi memudahkan pergerakan dan urusan hariannya.

Katanya, PKD Demit mengambil inisiatif membina bilik untuk Muhammad Rosdi memandangkan beliau sukar untuk pergi bilik air.

- Advertisement -

“Penghulu Mukim Lubok Pukol diarah mengambil maklumat berkaitan keluarga terbabit bagi membolehkan bantuan itu disalur kepada Rosdi.

“Kita merancang menambah sebuah lagi bilik dan bilik air bagi memudahkan pergerakan Rosdi,” katanya pada majlis penyerahan cek bayaran Faedah Hilangupaya Kekal oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kampung Lubok Pukol Banggu di sini semalam.

Cek tersebut diserah kepada isterinya, Siti Nor Shafika Salmizi, 21. Turut hadir Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob dan Penghulu Mukim Lubok Pukol, Mohamad Safiee Yusoff.

Mohamad Rosdi sebelum ini bekerja dengan Syarikat Hilmi Mat Ghani, terjatuh dari ketinggian 40 kaki ketika bekerja Jun tahun lalu menyebabkan dia terlantar dan lumpuh sepenuhnya.

Akibat kejadian itu, kedua belah tangan, tulang rusuk, kerangka punggung dan kaki kirinya patah serta mengalami pendarahan di bahagian kepala, kini dia hanya mampu terlantar di atas katil.

Dia juga mendapat cuti sakit selama 276 hari dengan jumlah bayaran sebanyak RM8,463, bahkan dia juga layak membuat tuntutan hilang upaya kekal selepas mendapat pengesahan doktor.

Perkeso menyampaikan cek bayaran pertama bagi Faedah Hilangupaya Kekal berjumlah RM56,176 selain layak menerima bayaran Elaun Layanan Sentiasa secara berkala sebanyak RM1194 sebulan. – HARAKAHDAILY 14/4/2022

- Advertisement -