
Oleh ZULKIFLI HUSIN
PASIR PUTEH: Biarpun dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan cedera, namun berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara Isnin lepas.
Pengarah Maritim Kelantan Kapten Maritim, Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, anggota Maritim bergelut dengan nelayan terbabit sebelum berjaya manahan bot mereka.
Katanya, ketika kejadian bot nelayan berkenaan dengan 20 krew enggan berhenti selepas diarah berbuat demikian, sebaliknya terus memecut sehingga berlaku kejar mengejar.
“Setelah berjaya dikejar rapat sejauh 46 batu nautika dari muara Tok Bali bot itu enggan mematuhi setelah diarah berhenti.
“Keadaan itu menyebabkan anggota penguatkuasa terpaksa menggunakan ‘force boarding’ bagi memastikan bot itu dihentikan.
“Salah seorang anggota Maritim berusia, 32, melompat ke atas bot dan menerpa rumah kemudi untuk mengambil alih kawalan bot berkenaan,” katanya pada kenyataan di sini semalam.
Bagaimanapun kata beliau tekong mengacukan pisau dan cuba menikam anggota Maritim sehingga berlaku pergelutan.
Katanya, anggota berkenaan mengalami cedera di bahagian tapak tangan kiri dan ibu jari kanan, manakala seorang lagi anggota mengalami cedera pada ibu jari kanan kerana bergelut dengan kru bot nelayan yang lain.
Nor Adli berkata, walaupun kedua-dua anggota berkenaan cedera, namun mereka berjaya mempertahankan diri terhadap tindakan agresif kru bot itu.
Menurutnya kesemua nelayan asing tersebut berjaya ditahan setelah mengambil masa 45 minit.
“Pemeriksaan lanjut mendapati nelayan berkenaan masing-masing berumur antara 20 hingga 48 tahun tiada dokumen pengenalan diri.
“Bot itu juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan dan ditahan di bawah Akta Perikanan 1985,” ujarnya.
Beliau juga berkata tangkapan itu melibatkan rampasan sebuah bot, peralatan menangkap ikan, kira-kira 500 kilogram ikan dan bekalan diesel 500 liter dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.5 juta. – HARAKAHDAILY 14/4/2022











