‘Menunggu kekasih yang sudah lama pergi’: Nostalgia indah Ramadan rakyat Palestin

Seorang penjual warga Palestin menjual jeruk di pasar di Kota Gaza pada 20 Ogos 2009. (FOTO Reuters/Mohammed Salem)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

GAZA: “Tiada yang lebih indah daripada masa silam dan bulan Ramadan yang lalu.”

Dengan kata-kata ringkas tapi cukup bermakna, warga Palestin, Um Ahmed Aqel mula mengimbau kembali nostalgia suasana Ramadan sebelum kewujudan Hari Nakba di negara kelahirannya itu.

Dilahirkan pada tahun tahun 1925, Aqel, seorang wanita yang sudah berkahwin terpaksa berhijrah bersama keluarganya dari kampung halamannya di Sarafand semasa peristiwa Nakba itu.

Dia kehilangan anak perempuannya dalam perjalanan penghijrahan yang menakutkan dan sangat mencabar sejauh 40 kilometer dari Sarafand ke Gaza. 

- Advertisement -

Hari ulang tahun ke-74 hari tragedi hitam buat seluruh Palestin itu kini semakin hampir, yang diraikan setiap kali menjelang 15 Mei pada setiap tahun.

Hari Nakba (يوم النكبة, bermaksud malapetaka) merujuk kepada hari memperingati pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin oleh kezaliman tentera Israel yang telah menyebabkan lebih 700,000 warga Palestin menjadi pelarian.

Hari berkenaan adalah sehari selepas pengisytiharan penubuhan negara Israel dan hari berakhirnya mandat Britian di Palestin pada 1948. 

Hidangan jeruk dan salad menjadi juadah wajib bagi rakyat Palestin untuk berbuka puasa. (FOTO Arab News)

Hari ini pelarian Palestin atau keturunan mereka dianggarkan berjumlah lebih empat juta orang setiap tahun meraikan Nakba, selepas ia mula digerakkan pada 1998 oleh mantan Presiden Yasser Arafat (1929-2004), dengan kehadiran lebih satu juta orang dalam perarakan penuh semangat jitu.

Menurut Al-Jazeera, pada hari ini, Hari Nakba diraikan dengan ucapan dan perarakan di Tebing Barat, Gaza dan di negara-negara Arab. Tunjuk perasaan juga pernah diadakan di London pada 2003 dan New York (2004).

Justeru, buat individu seperti Aqel, dunia kehidupan di bumi Palestin sebelum dan selepas Nakba sangat berbekas dalam sanubarinya.

Pada usia 97 tahun, ingatan Aqel masih kuat dan utuh. Dia mengimbau banyak pengalaman Ramadan di Palestin sebelum kewujudan Nakba.

Rakyat Palestin membawa harta benda di kepala mereka kerika melarikan diri dari sebuah perkampungan yang tidak dikenali di Galilea, kira-kira lima bulan selepas penubuhan negara Israel pada tahun 1948. (FOTO Reuters)

“Kehidupan hari ini (selepas Nakba) sangat berbeza dan sukar, tetapi pada masa dulu (sebelum Nakba) semuanya mudah dan baik-baik sahaja,” katanya kepada Arab News.

“Sebelum dan sepanjang Ramadan (sebelum Nakba), keceriaan memenuhi hati, seolah-olah seperti menunggu kekasih yang sudah lama pergi. Ramadan bagi kami adalah bulan kebaikan dan keberkatan,” ucapnya.

Dengan senyuman di wajahnya yang berkerut, Aqel mengimbas memori silam tentang golongan wanita di Palestin yang dilanda kesibukan pada hari-hari sebelum menjelang  Ramadan, menyediakan balang tembikar bagi menyimpan air sejuk dan membuat keju untuk hidangan sahur.

Sementara golongan kaya di bandar ini pula mengagih-agihkan tepung dan sayur-sayuran kepada fakir miskin dan membayar zakat sejak pada hari pertama Ramadan agar mereka mampu membeli apa yang diperlukan sempena bulan yang mulia ini.

“Golongan wanita pada zaman dulu pernah berkumpul secara beramai-ramai untuk menyediakan meja Iftar dan bertukar-tukar juadah buka puasa. 

“Tidak seperti hari ini, ia tidak mengandungi banyak menu dan tidak memenuhi keperluan keluarga, sebaliknya ia hanya mempunyai satu item yang mengandungi hidangan sayur-sayuran bermusim, seperti kacang atau Jerisha, iaitu gandum yang dihancurkan yang dimasak dengan daging merah.

Peniaga menjual produk hiasan Ramadan di Al-Zawiya, Kota Gaza pada 5 Mei 2019. (FOTO 972.mag/Mohammed Al Hajjar)

Jerisha yang merupakan hidangan bermusim, sangat mahal di Palestin sehingga kebanyakan keluarga tidak mampu membelinya.

Namun, keluarga kaya bermurah hati memasaknya dalam kuantiti yang banyak pada Ramadan untuk diedarkan kepada penduduk miskin di bandar sempena menyambut bulan suci umat Islam itu.

“Terdapat sebuah masjid kecil di Sarafand. Anak-anak kampung, lelaki dan perempuan, berkumpul di situ pada waktu matahari terbenam, menunggu azan Maghrib, dan mereka pergi bersorak dan bertasbih dalam perjalanan menuju ke rumah masing-masing,” kenang Aqel.

Sementara Ali Al-Aseel, 87, merupakan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun semasa kemunculan Nakbah, yang mana tragedi itu dialaminya bersama keluarganya dari Jaffa.

Seperti Aqel, Al-Aseel jelas mengingati adat dan tradisi Ramadan yang kelihatan tidak terjejas oleh tahun-tahun yang panjang sejak zaman kanak-kanaknya di Jaffa. 

Dia masih mengingati rumah tempat dia dilahirkan dan banyak butiran kehidupan sehariannya ketika itu.

Pamandangan di sekitar 110 Allenby Street, Tel Aviv, Palestin pada tahun 1937 yang kini sudah dirampas Israel. (FOTO Flickr)

“Sepanjang Ramadan, bandar itu dihias indah dan kedai gula-gula berkembang pesat. Bulan (Ramadan) ini antara bulan paling indah dalam setahun, kerana suasana dan tradisinya yang indah, terutama pada waktu malam,” tuturnya.

“Dengan matahari terbenam, pantai dengan pemandangan yang terbentang dalam pandangan mata itu dipenuhi dengan anak-anak muda dan kanak-kanak menunggu meriam Iftar, yang membezakan kota Jaffa dengan bandar-bandar besar lain di Palestin. 

“Penduduk tempatan bergantung pada bunyi kuat yang dikeluarkannya, sebagai menandakan waktu Iftar. 

“Selepas Iftar, golongan lelaki menunaikan solat malam dan Tarawih, berkumpul di khalayak ramai, dan mendengar seruan agama, atau program radio, yang terdapat dalam majlis-majlis keluarga.

“Hidup ini sederhana, dan bulan Ramadan meningkatkan keharmonian, dan keluarga berkumpul di satu Tabliah – sebuah meja kayu kecil dan rendah, yang mana ahli keluarga berkumpul untuk makan bersama-sama dari satu hidangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sejarawan Palestin, Salim Al-Mubayed berkata bahawa banyak kegembiraan berbekas dalam emosi tatkala menyambut bulan Ramadan. Namun menurutnya, kegembiraan pada masa dulu itu dan sekarang ini tidak lagi sama.

“Suasana yang membezakannya ialah apa yang pada masa lalu itu kini sudah hilang, sama ada kerana Nakba dan kesannya, atau kerana pembangunan, teknologi dan kesibukan penduduk dilanda kebimbangan dalam menjalani rutin kehidupan seharian (angkara kezaliman Israel).

“Ke mana perginya momen yang indah dan penuh kesederhanaan seperti sebelum  ini? Adakah ia telah ditelan oleh teknologi, kerana ia sesungguhnya telah menelan banyak penampilan, adat dan tradisi (Palestin) yang indah?” ujarnya. – Agensi

- Advertisement -