Polis Kelantan tingkat pemantauan di kawasan sempadan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Polis Kelantan akan terus mempertingkatkan pemantauan di kawasan sempadan negara dan bazar-bazar Ramadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan mercun ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, beberapa task force ditubuh untuk membanteras penjualan bahan larangan tersebut yang lazimnya mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan Aidilfitri.

- Advertisement -

“Saya mengarahkan kesemua ketua polis daerah di negeri ini supaya meningkatkan pemantauan terutama di kawasan sempadan kerana dikhuatiri ada usaha pihak tertentu menyeludup mercun ke negara ini.

“Seperti mana kita sedia maklum menjelang Ramadan dan Hari Raya mercun menjadi minat sebahagian kanak-kanak. Namun mercun yang diluluskan Bukit Aman hanya beberapa yang tidak berbahaya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis Peringkat Kontijen Kelantan Dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan di Dewan Tun Salleh Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan hari ini. (Foto atas)

Pada majlis itu seramai 19 pegawai polis menerima kenaikan pangkat.

Shafien juga berkata, pemantauan secara dalam talian turut dibuat kerana dibimbangi sekiranya ada laman web berkaitan aktiviti tersebut yang digunakan sindiket berkenaan.

“Pemantauan secara online dimonitor Bukit Aman dan saya juga minta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontijen Kelantan turut membuat pemantauan sekira ada laman web yang dikhuatiri diguna sindiket terlibat,” katanya.

“Semua akta bahan letupan telah termaktub dan saya rasa mereka pun tahu tidak boleh jual, namun cuba melakukan secara sembunyi-sembunyi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/4/2022

- Advertisement -