
AMMAN/GAZA: Desakan diplomatik sedang dijalankan untuk mengelakkan berulangnya keganasan Ramadan tahun lalu pada Ramadan 2022 di wilayah Palestin yang diduduki yang membawa kepada konflik keempat antara Israel dan Gaza.
Sehubungan itu, Raja Abdullah dari Jordan bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas selama dua jam berbincang di Ramallah pada Isnin (28 Mac), dalam lawatan pertamanya ke Tebing Barat yang diduduki Israel sejak tahun 2017.
Terdahulu, Raja Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Israel, Yair Lapid dalam bulan ini untuk membincangkan strategi untuk membendung pergolakan semasa Ramadan.
Penyelaras kerajaan Israel di wilayah Palestin, Ghassan Alyan, juga telah berkunjung ke Kaherah untuk mengadakan rundingan keselamatan dengan pihak kerajaan Mesir.
Pihak kerajaan Palestin telah berulang kali diberi amaran bahawa Tebing Barat yang diduduki berada di ambang bahaya setiap kali menjelang Ramadan.
Ketika ini, pada tahun lepas, berlaku pergolakan di Masjid Al-Aqsa dan percubaan oleh peneroka haram Israel untuk mengusir penduduk Palestin dari kediaman mereka yang mencetuskan kepada gelombang keganasan, dan serangan selama 11 hari oleh Israel ke atas Gaza.
Selain Ramadan pada tahun ini yang bermula hujung minggu depan, ‘pencetus’ berpotensi kepada keganasan di bumi Palestin yang akan berlaku termasuklah kebangkitan Hari Tanah (Land Day) pada setiap 30 Mac, Hari Tahanan Palestin (Palestinian Prisoners’ Day) setiap 17 April, Perarakan Kepulangan Besar (Great March of Return) yang merupakan ulang tahun konflik Gaza tahun lalu, dan Hari Nakba (Nakba Day) pada pada 15 Mei.
“Kami telah melihat ketegangan yang ketara di Baitulmaqdis, yang tidak pernah reda sejak konflik terakhir pada tahun lalu.
“Adalah masuk akal untuk Jordan mencuba dan campur tangan dalam beberapa cara untuk meredakan ketegangan tersebut,” kata seorang penganalisis di International Crisis Group, Tahani Mustafa.
Sehubungan itu, para pemimpin politik Israel telah bertemu untuk membincangkan peningkatan langkah keselamatan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sebagai persediaan menghadapi Ramadan kali ini.
Bagaimanapun, untuk meredakan ketegangan, Israel akan meningkatkan daripada 10,000 kepada 20,000 bilangan pekerja Palestin dari Gaza yang boleh memasuki Israel, melonggarkan beberapa sekatan import, dan melaksanakan rancangan pra-pandemik untuk rakyat Palestin di Tebing Barat melawat Baitulmaqdis.
“Adalah jelas bahawa terdapat keinginan Israel, disokong oleh tekanan Amerika Syarikat, untuk meredakan ketegangan di Timur Tengah berikutan perang Rusia-Ukraine,” ulas penganalisis politik, Mostafa Ibrahim. – Arab News.




















