Didikan melalui teladan Islam

- Advertisement -

TIDAK dinafikan ramai di kalangan pendidik dan guru-guru hari ini kian terasa dengan perangai anak-anak pelajar di sekolah. Bahkan ada yang telah hilang sabar sehingga mengambil keputusan untuk bersara lebih awal.

- Advertisement -

Pelbagai komen dan reaksi daripada pelbagai pihak memberikan pandangan dan pendapat. Ada yang menyalahkan ibu bapa soal mendidik anak di rumah, tidak juga lupa ada yang menyalahkan para guru. Ada pula mengatakan bahawa sikap yang terlalu manjakan anak-anak murid menjadikan mereka ‘keras kepala’ atau ‘nakal’.

Sebuah pedoman yang boleh saya kongsikan kepada pihak kerajaan, sekolah, guru mahupun ibu bapa boleh mengambil iktibar daripada perbincangan yang saya sertakan di sini.

Sememangnya, mengajar dan mendidik memerlukan kesabaran. Tidak kira siapa sahaja yang terkait dalam bidang pendidikan sama ada guru, murid, pelajar, ibu bapa, pengurus atau pengelola sekolah, semuanya memerlukan kesabaran.

Kepuasan bagi seorang guru yang sabar ialah apabila anak didiknya itu berjaya mengenal, mengeja, membaca seterusnya mengkhatam al-Quran, sekiranya ia adalah guru al-Quran. Begitu juga  guru agama, bahasa, matematik, sejarah, dan pelbagai lagi disiplin ilmu akan merasa bahagia dan puas apabila anak-anak muridnya berupaya menguasai ilmu yang diajarkan kepada mereka dengan baik.

Rasulullah S.A.W bersabda kepada Saidina Ali yang bermaksud:

“Demi Allah, kalau Allah memberi hidayah kepada seorang kerana ajaranmu, maka yang demikian itu bagimu lebih baik dari kekayaan binatang ternak yang merah-merah.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Inilah harga bagi seorang guru yang sabar dan tabah mencurah ilmu pengetahuan. Bayangkan seorang ibu atau bapa yang memperolehi anak soleh hasil didikan guru-guru yang sabar, maka kesan kesabaran mereka akan dikembalikan semula kepada ibu ayah tersebut dalam bentuk hadiah sebuah kejayaan.

Ingatlah bahawa dari keringat guru, anaknya tahu membaca al-Quran. Dari usaha guru, anak mereka tahu membaca dan mengira. Apa yang paling mustahak ialah apabila ibu ayah meninggal dunia, maka anak-anak itulah mewariskan ilmu serta mendoakan kesejahteraan mereka. 

Sekiranya ada di kalangan guru yang menegur atau menghukum anak-anak kerana malas atau melanggar disiplin sekolah, maka sedarlah bahawa niat teguran dan hukuman itu hanya untuk kebaikan anak-anak murid mereka juga. Sebagai ibu bapa, banyaklah bersabar.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Apabila meninggal seorang anak Adam, maka terputus segala amalannya kecuali tiga perkara. Sadaqah jariah, ilmu yang mendatangkan manfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”

(Riwayat Muslim)

Anak-anak murid atau penuntut juga kena bersabar apabila belajar. Ingatlah bahawa menuntut ilmu itu merupakan jalan mudah ke syurga.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

“Siapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Dan para malaikat selalu meletakkan sayapnya menaungi para pelajar kerana senang dengan perbuatan mereka. Dan orang alim diminta ampun oleh penduduk langit dan bumi dan ikan-ikan di dalam air. Kelebihan seorang alim atas ibadat bagaikan kelebihan sinar bulan atas lain-lain bintang. Dan sesungguhnya ulamak (guru-guru) sebagai waris nabi-nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar atau dirham hanya mereka mewariskan ilmu agama, maka sesiapa yang telah mendapatkannya bererti ia telah mengambil bahagian yang besar.”

(Riwayat Abu Daud, Tirmizi)

Justeru, semua pihak perlu bersabar apabila menangani isu pendidikan. Ingatlah bahawa berkat usaha dan kesabaran itu dapat melahirkan insan yang berjiwa qanaah berjaya dunia dan akhirat. Tepatnya, usaha dan sabar ialah kunci kejayaan. Bak kata pepatah melayu ‘Kalau tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya’.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -