
AKHIRAT nanti, setiap manusia membawa suratan amalannya di hadapan Allah. Para syuhada’ akan gembira dengan darah syahid mereka.
Para dermawan akan gembira dengan sedekah mereka. Para pejuang agama Allah akan gembira dengan perjuangan mereka, dan para abid akan gembira dengan amal ibadah mereka.
Bagaimana pula dengan nasib kita? Apakah yang akan menggembirakan kita di hadapan Allah nanti? Kita ini insan yang selalu melakukan dosa, hanya mengharapkan rahmat Tuhan ketika kita dibangkitkan agar segala dosa kita diampuni.
Maka, perbanyakkanlah doa di dunia ini, menangislah kerana dosa-dosa kita, kerana tangisan itu akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah, walaupun terlalu sukar manusia itu menangis kerana dosanya.
Begitu juga, cubalah untuk berjaga malam demi memperjuangkan agama Allah, kerana Rasulullah S.A.W bersabda:
عَينانِ لا تَمَسُّهما النارُ: عينٌ بَكَتْ من خَشيةِ اللهِ، وعينٌ باتتْ تَحرُسُ في سَبيلِ اللهِ
“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga malam kerana berjuang di jalan Allah.”
(Riwayat Tirmizi (1639))
Setiap detik masa yang ada, jangan kita sia-siakan dengan perkara yang tidak menguntungkan kita di dunia dan menyusahkan pula di akhirat. Gunakanlah masa yang ada dengan mencari redha Allah dengan sentiasa berjuang di atas jalan-Nya.
Pesan Tok Guru Nik Aziz kepada kita: “Biarlah kita penat di dunia, semoga kita tidak penat nanti di hari akhirat.”
Salam perjuangan buat semua.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Agama Islam (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 29/3/2022











