
SYDNEY: Beribu-ribu penduduk di seluruh timur Australia telah diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka ketika lebih banyak ribut dijangka melanda melanda bandar-bandar yang masih dalam proses pemulihan akibat banjir besar melibatkan kematian beberapa minggu lalu.
Beberapa perintah pemindahan telah dikeluarkan untuk bandar Lismore, yang telah musnah pada bulan lalu apabila air banjir setinggi 14.3 meter (47 kaki) melanda kediaman, menghanyutkan kenderaan penduduk, dengan sebilangan mereka terkandas di atas bumbung rumah mereka.
Beratus-ratus orang terpaksa diselamatkan secara dramatik oleh jiran mereka ang mengharungi air banjir dengan bot persendirian dan juga berkayak disebabkan bantuan perkhidmatan kecemasan kerajaan Australia yang lambat tiba di lokasi kejadian.
Berusaha untuk mengelak berulangnya kelewatan dalam mengendalikan bencana alam sekitar berulang kembali, perkhidmatan kecemasan negeri berkata pekerja, kenderaan darat, bot dan helikopter tambahan telah dikerahkan pada Selasa (29Mac) susulan ramalan ribut dan banjir kilat.
Penduduk tempatan Lismore menghabiskan sebahagian besar pada Isnin (28 Mac) bersiap sedia menghadapi hujan lebat, dengan bergerak ke kawasan yang lebih tinggi.
Sebuah pusat pemindahan banjir di bandar itu yang ditubuhkan oleh akhbar pribumi nasional Australia, The Koori Mail juga terpaksa dipindahkan.
Banjir besar sepanjang Februari lalu telah meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa di seluruh negeri Queensland dan New South Wales dan menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya kini tinggal sementara di kawasan yang dijangka akan dilanda hujan lebat pada minggu ini.
“Memandangkan kawasan tadahan kini tepu, akan terdapat peningkatan risiko banjir kilat yang berbahaya dan mengancam nyawa dan juga hakisan semasa kejadian ini,” kata biro cuaca negara dalam amaran pada Isnin (28 Mac).
Di Queensland, seorang lelaki ditemui mati di dalam keretanya dalam banjir pada Isnin (28 Mac), bersama beberapa ekor anjing, manakala seorang wanita yang berada di dalam kereta tersebut berjaya diselamatkan. – Reuters




















