
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mendedahkan beliau mempunyai ‘bukti bertulis’ bahawa ‘wang’ dari ‘kuasa asing’ atau luar negara digunakan oleh parti pembangkang negara itu untuk menjatuhkan beliau daripada kuasanya selaku pemimpin nombor satu Pakistan.
“Kami telah diancam secara bertulis tetapi kami tidak akan berkompromi dengan perkara itu demi kepentingan negara,” kata Khan dalam ucapannya di hadapan orang ramai yang berhimpun di sini pada Ahad (28 Mac) sambil menegaskan beliau mempunyai bukti ‘konspirasi asing’ yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.
Khan yang menghadapi undi tidak percaya di Parlimen berkata bahawa perancangan ‘kuasa asing’ sedang dijalankan untuk mempengaruhi dasar luar Pakistan dari negara luar, dan beliau berikrar akani untuk mendedahkan lebih banyak bukti tentang perkara itu pada masa yang sesuai.
“Kami mendapat ancaman. Terdapat banyak perkara tentang konspirasi asing yang akan dikongsi tidak lama lagi,” lapor akhbar Dawn memetik ucapan Khan.
Terdahulu, Khan telah menyeru sejuta penyokongnya untuk berhimpun di ibu negara di sini bagi memberi tekanan kepada berpuluh-puluh ahli Dewan Negara yang dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengundi bagi menentangnya.
Menurut pemerhati bebas, 50,000 hingga 60,000 orang menghadiri perhimpunan itu, termasuk sejumlah besar aktivis wanita, dalam apa yang digelar ‘himpunan terbesar yang pernah berlaku’ di Islamabad oleh parti itu.
Sementara itu, parti pembangkang juga merancang perhimpunan di bandar itu minggu depan dan pihak berkuasa sedang merancang kawalan yang ketat bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku. – Agensi




















