
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Prestasi kewangan kerajaan negeri pada tahun 2021 dan sebelumnya menunjukkan pengukuhan dan masih berdaya tahan walaupun beroperasi dalam ekosistem persekitaran ekonomi yang lebih mencabar akibat pandemik Covid-19.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah kerajaan negeri melalui dasar kewangan yang komprehensif berjaya mengawal perbelanjaan mengurus berdasarkan keutamaan perbelanjaan yang akan memberi impak terus kepada rakyat melalui projek-projek people-centric.
Titah baginda program tersebut termasuk pembinaan atau pembaikian rumah dhuafat, bantuan Al-Musa’adah dan Rumah Mampu Milik di Daerah Badang.
“Di kesempatan ini beta ingin menzahir dan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan beta kerana berjaya mencapai prestasi Akaun Semasa Kerajaan Negeri Tahun 2021 dengan mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.17 juta atau lebih 4.77 peratus berbanding tahun 2020.
“Pencapaian ini dicatatkan selama lima tahun berturut-turut,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini hari ini.
Titah Ucapan Diraja yang dibacakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Dalam pada itu titahnya, peningkatan perbelanjaan pembangunan setiap tahun melebihi RM152 juta memberikan gambaran bahawa kerajaan membelanjakan sejumlah wang bagi perbelanjaan modal untuk kesejahteraan rakyat terutama kepada projek infrastruktur dan kemudahan asas.
Baginda bertitah pembangunan infrastruktur yang sempurna merupakan nadi kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri.
“Beta menaruh harapan dengan adanya pembinaan seperti Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat mewujudkan rangkaian lebuhraya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” titah baginda.
Oleh itu, Sultan Muhammad V turut berharap kerajaan dapat memperkasakan usahawan-usahawan dalam kategori home based business dan mikro dengan menyediakan lebih banyak bantuan seperti bantuan peralatan, kursus bimbingan dan khidmat nasihat.
Titah baginda juga, belia digalakkan mengambil peluang yang ada dengan perkembangan teknologi berasaskan internet sebagai platform niaga.
Sehubungan itu baginda berharap dengan penubuhan Perbadanan Digital Kelantan akan dapat memacu pertumbuhan industri ICT dan Digital pada masa yang sama dapat membantu golongan usahawan mengembangkan perniagaan mereka. – HARAKAHDAILY 28/3/2022




















