
WUZHOU: Satu daripada dua kotak hitam dari Boeing 737-800 China Eastern Airlines sempat ditemui pada Rabu (23 Mac) ketika penyiasat cuba mengumpulkan apa yang menyebabkan pesawat yang membawa 132 penumpang itu terhempas ke lereng gunung di selatan China pada Isnin (21 Mac) lalu, sebelum pencarian dihentikan di lokasi berkenaan susulan amaran tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda kawasan itu.
Punca bencana itu telah membingungkan pihak berkuasa penerbangan yang telah menjelajah lokasi pesawat itu terhempas untuk mencari petunjuk, namun masih tidak menemui mangsa yang terselamat daripada apa yang hampir pasti sebagai nahas kapal terbang paling teruk di China dalam tempoh hampir 30 tahun.
Ketua siasatan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), Mao Yanfeng dalam taklimat kepada pihak media berkata, satu kotak hitam telah ditemui di tempat kejadian tetapi ia sudah mengalami kerosakan teruk di bahagian luarnya.
“Namun, pasukan penyiasat di barisan hadapan masih memastikan sama ada perakam data penerbangan atau perakam suara kokpit,” jelasnya.
Menurutnya, cuaca di sepanjang laluan penerbangan pada Isnin (21 Mac) hari kejadian didapati tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada pesawat itu, dan pengawal udara telah mengekalkan komunikasi dengannya selepas berlepas dan sebelum ia menjunam dengan pantas ke lereng pergunungan di daerah Tengxian berhampiran bandar Wouzhou di sini.
“Semasa ia menjunam, pesawat itu tidak menjawab panggilan berulang kali daripada pengawal udara.
“Pesawat itu telah memenuhi piawaian kelayakan udara sebelum berlepas, dan tiga juruterbang, iaitu seorang lebih daripada bilangan biasa juruterbang yang diperlukan pada Boeing 737, kesemuanya berada dalam keadaan sihat,” ujar Yanfeng.
Sementara jurucakap China Eastern Airlines dalam taklimat yang ama berkata, Kapten atau juruterbang utama pesawat itu mula bertugas dengan syarikat penerbangan itu pada Januari 2018 dan mempunyai 6,709 jam pengalaman menerbangkan pesawat..
“Sementara dua lagi juruterbang masing-masing mempunyai 31,769 jam dan 556 jam pengelaman menerbangkan pesawat di udara,” katanya. – AFP




















