‘Sekiranya saya pun tak buat kena tunggu 30 tahun lagilah’

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah mendaftar semua jalan pertanian di bawah Lembaga Pertanian Muda (MADA) sebagai jalan kampung supaya boleh diselenggara di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak 135 jalan pertanian MADA didaftar untuk diselenggara bermula 2020 menggunakan peruntukan berkenaan.

Menurut beliau, kerja-kerja penyelenggaraan di bawah MARRIS dimulakan pada 2021.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri ambil alih dan mendaftar jalan-jalan pertanian di kawasan MADA di bawah peruntukan penyelenggaraan jalan MARISS.

“Sedangkan sebelum 2020 kerajaan sebelum ini tidak buat begitu. Sekiranya saya pun tak buat kena tunggu 30 tahun lagilah.

“Dengan itu jalan-jalan pertanian MADA boleh dibaiki dan diturap tar berbanding hanya ditabur batu sahaja sebelum ini,” katanya pada sesi penggulungan pada Sidang Dun di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sebelum itu beberapa Adun membangkitkan isu jalan MADA yang dianggap mereka tidak memuaskan.

Menurutnya juga pada 2021 MARRIS memperuntukan RM243.97 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Kedah melibatkan 553 jalan negeri (RM128 juta) di bawah selian Jabatan Kerja Raya (JKR).

Selain itu 215 jalan perbandaran (RM36.9 juta) di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 628 jalan kampung (RM59.6 juta) dan 286 jalan pertanian (RM19.7 juta).

Sanusi juga berkata, pada tahun lepas kerajaan negeri menerima peruntukan daripada MIDA bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan perindustrian di Kulim dan Bukit Selambau.

Menurutnya juga beliau agak terkilan dakwaan Dr Salmee Said (Amanah- Kota SiPuteh) berkaitan jalan Pida 4 yang didakwa ditunggu hampir 25 tahun untuk penyelenggaraan.

“Sepatutnya Adun terbabit melaksanakannya ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kedah dahulu. Adun berkenaan hanya pandai cakap bila menjadi pembangkang,” ujarnya.

Beliau juga berkata, projek fasa satu melibatkan Dun Kota SiPuteh dan Anak Bukit dilaksanakan dengan kos bernilai RM2.9 juta.

Projek itu katanya tidak dilaksanakan di Dun Jeneri atau Tokai sebalik di dua Dun yang diwakili pembangkang. – HARAKAHDAILY 23/3/2022

- Advertisement -