Sambut baik Saudi tarik balik sekatan Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pengumuman Kerajaan Arab Saudi menarik balik kebanyakan sekatan berkaitan dengan Covid-19, termasuk perjalanan, penjarakan fizikal, ujian antigen pantas dan kuarantin wajib ke negara tersebut.

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata Arab Saudi tentunya telah menilai pelbagai aspek dan semua protokol kesihatan sejak wabak Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu sebelum menarik balik sekatan tersebut, sejajar dengan situasi pandemik yang bertambah baik di negara tersebut.

- Advertisement -

“Dengan penarikan sekatan ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadat umrah dan haji pada tahun ini dan masa-masa yang akan dating,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, pada masa yang sama Kerajaan Arab Saudi pastinya telah membuat persiapan rapi berpandukan amalan terbaik pengendalian antarabangsa demi menjaga keselamatan rakyatnya dan juga para jemaah umrah dan haji yang datang dari seluruh pelosok dunia.

Idris berkata, Kerajaan Malaysia khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terus bekerjasama dengan Arab Saudi untuk sentiasa melakukan yang terbaik demi keselamatan dan kesihatan jemaah umrah dan haji. – HARAKAHDAILY 23/3/2022

- Advertisement -