Ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus bagi suku keempat 2021

Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus dalam tempoh suku keempat 2021, berbanding kemerosotan 3.4 peratus bagi tempoh yang sama pada 2020.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata dari segi prestasi ekonomi secara bulanan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus pada Disember, susulan pertumbuhan memberangsangkan pada November sebanyak 5.4 peratus dan 2.7 peratus pada Oktober 2021.

- Advertisement -

Katanya, momentum pertumbuhan ini disokong oleh kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan penyambungan semula aktiviti sosial, terutama pada suku keempat 2021.

“Secara keseluruhan, KDNK pada tahun 2021 kembali mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020.

“Prestasi ini sejajar dengan unjuran rasmi Kementerian Kewangan antara 3 dan 4 peratus semasa pembentangan Bajet 2022,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Shahar berkata, pemulihan ekonomi pada tahun 2021 dijangka terus menyokong KDNK negara ke arah kembali mencapai paras sebelum pandemik.

Selain itu, katanya pertumbuhan akan dipacu terutama oleh langkah di bawah Bajet 2022 yang masih bersifat mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh, terutama daripada rakan dagang utama.

Sehubungan itu pada masa ini, katanya kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 antara 5.5 dan 6.5 peratus, selari dengan unjuran terkini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, masing-masing pada 5.7 dan 5.8 peratus.

“Dari sudut fiskal bagi tahun 2021, kerajaan telah menyemak semula anggaran defisit fiskal daripada 5.4 peratus kepada 6.5 peratus, berbanding KDNK berikutan penularan varian baharu Covid-19, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan dan penyediaan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi tambahan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya berikutan prestasi kutipan hasil pada suku keempat yang lebih baik susulan pembukaan semula ekonomi, defisit fiskal 2021 telah mencatat 6.4 peratus kepada KDNK, manakala bagi tahun 2022, kerajaan mensasarkan defisit fiskal lebih rendah pada paras 6 peratus kepada KDNK.

Sementara itu, katanya hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Disember 2021 mencatat RM979.8 bilion atau 63.4 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata, nisbah hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen MGS, MGII dan MITB mencatatkan 59.7 peratus daripada KDNK, namun masih di bawah had 65 peratus KDNK yang ditetapkan dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021.

Ketika ini, katanya kerajaan mengguna pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana (3 hingga 5 tahun) yang selari dengan pelan pembangunan RMK-12.

“Di samping itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus, ketelusan, pengurusan kewangan awam dan disiplin fiskal.

“Kerajaan juga sedang membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan melaksanakan Semakan Semula Perbelanjaan Awam (PER) bagi menambah baik asas hasil dan memastikan kecekapan perbelanjaan Kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -