Lokar sekolah rendah bernilai RM37.3 juta disiapkan tahun ini

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan dalam usaha menangani isu bebanan beg sekolah berat yang berlarutan sejak sekian lama, memperuntukkan sebanyak RM37.3 juta untuk menyediakan lokar di sekolah rendah dua sesi tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’ Dr Mah Hang Soon, berkata projek fasa pertama ini membabitkan seramai 323,186 murid Tahun Satu, Dua dan Tiga di 10,662 kelas.

- Advertisement -

Katanya, fasa kedua pula membabitkan Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah rendah dua sesi dijangka dilaksanakan pada tahun 2023.

“Bagi sekolah rendah satu sesi, buku boleh disimpan dalam laci meja bilik darjah masing-masing,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan usaha kementerian bagi menangani isu bebanan beg sekolah berat yang ditanggung oleh pelajar, terutama di sekolah rendah.

Menjawab soalan lisan asal Pasir Mas, Hang Soon berkata, penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa adalah antara ketetapan Kementerian Pendidikan yang akan dilaksanakan dengan segera bagi menangani isu beg berat murid.

Menurutnya, tindakan lain ialah penyusunan semula jadual waktu, iaitu melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

“Bilangan buku latihan pula tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada suatu masa. Setiap buku latihan hendaklah tidak melebihi 80 muka surat.

“Dari segi buku aktiviti dan buku kerja, murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Hang Soon berkata, usaha mengurangkan bebanan beg juga membabitkan penerbitan baharu buku teks dalam format digital yang dilaksanakan secara berterusan.

Sehingga kini, katanya sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Menurutnya, Kementerian Pendidikan juga menggalakkan guru menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

Katanya, kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -