
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) merosot berikutan berlaku beberapa perubahan terhadap metodologi pengiraan indeks berkenaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Dr Adham Baba, berkata walaupun berlaku penurunan, namun indeks negara tetap selaras dengan jangkaan tahap ekonomi berpendapatan menengah tinggi, iaitu pendapatan kurang daripada US Dollar 32,000.
Katanya, antara faktor lain yang memberi kesan terhadap penurunan itu juga, melibatkan perbelanjaan negara dalam bidang pendidikan dan pembangunan (GERD) yang masih rendah.
“Kedudukan ini juga menunjukkan perkembangan positif di mana pencapaian Malaysia dalam konteks penghasilan outpput inovasi adalah lebih tinggi berbanding tahap pelaburan inovasi, iaitu input.
“Justeru melalui pelaksanaan menyeluruh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Malaysia dijangka akan beralih daripada sebuah negara pengguna teknologi kepada pencipta teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berhubung faktor penyebab kejatuhan kedudukan Malaysia dalam GII 2021, di Dewan Negara, hari ini.
Katanya, kesan daripada pelaksanaan DSTIN 2021-2030 dan pendekatan whole of nation (WNA) melalui semua agensi kerajaan, swasta, indusrti dan akademik, kedudukan Malaysia dalam indeks GII akan kembali meningkat.
Kedudukan Malaysia dalam indeks GII pada tahun lalu menurun kepada kedudukan 36 daripada kedudukan ke 33 pada tahun 2019 daripada 132 negara dalam dunia.
Menurut Dr Adham, walaupun terdapat penurunan, Malaysia merupakan negara ketiga paling berinovatif selepas China, Bulgaria dalam kalangan 30 negara berpendapatan menengah tinggi.
Katanya lagi, manakala bagi negara-negara Asean, Malaysia kekal di tempat kedua, dibelakang Singapura mengatasi, Thailand, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia, Cambodia, Laos dan Myanmar. – HARAKAHDAILY 21/3/2022











