
Susunan YUSMAN AWANG
ANJEKY BEANATARA, Madagascar: Pulau keempat terbesar di dunia dikenali sebagai Madagascar ini pernah mendapat jolokan sebagai ‘pulau hijau’. Namun, kini tidak lagi kerana ia sebaliknya sudah bertukar warna menjadi merah akibat ketandusan.
Selama kira-kira empat tahun dilanda kemarau, yang paling teruk dalam beberapa dekad, bersama-sama dengan penebangan hutan disebabkan orang ramai membakar atau menebang pokok untuk membuat arang atau membuka tanah untuk pertanian, telah mengubah kawasan itu menjadi seperti sebuah ‘mangkuk debu’ merah.
“Tiada apa-apa untuk dituai di sini. Itulah sebabnya kami tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan dan kami kelaparan,” kata ibu kepada tujuh anak Tarira sambil berdiri di pos terpencil Program Makanan Dunia (WFP), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terletak berhampiran Anjeky Beanatara, lokasi di mana golongan kanak-kanak diperiksa untuk tanda-tanda kekurangan zat makanan dan diberi makanan.
Lebih sejuta orang di selatan Madagascar kini memerlukan bantuan makanan daripada WFP, dan seperti kebanyakan orang lain di rantau ini, Tarira dan keluarganya kadangkala terpaksa memakan sejenis kaktus yang dikenali sebagai raketa, yang tumbuh liar tetapi memberikan sedikit nilai zat pemakanan dan menyebabkan sakit perut.

Suatu ketika dahulu, Madagascar terkenal dengan ekosistemnya yang pelbagai, dengan beribu-ribu spesies tumbuhan dan haiwan endemik seperti lemur, sehingga ia memaparkan imej ‘syurga alam semula jadi’ yang subur.
Namun kini, di beberapa bahagian pulau itu, seperti kawasan yang jauh di selatannya, realiti di lapangan ekosistem yang telah jauh berubah.
“Kami pernah memanggil Madagascar sebagai pulau hijau, tetapi malangnya sekarang ia lebih kepada pulau merah,” kata Gabenor wilayah Androy Selatan, Soja Lahimaro Tsimandilatse kepada Reuters.
Menurut pihak berkuasa dan organisasi bantuan, krisis makanan di bahagian selatan pulau itu semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun ini dan berpunca daripada beberapa faktor yang saling berkaitan termasuk kemarau, penebangan hutan, kemusnahan alam sekitar, kemiskinan, pandemik Covid-19 dan pertumbuhan penduduk.

Dengan populasi 30 juta, Madagascar sememangnya biasa dengan kejadian cuaca ekstrem, tetapi saintis berkata ia berkemungkinan akan meningkat dengan lebih kerap dan teruk apabila perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia mendorong peningkatan suhu yang jauh lebih tinggi.
Pada kemuncak krisis makanan di selatan pulau itu, WFP memberi amaran bahawa Madgascar berisiko untuk meyaksikan ‘kebuluran akibat perubahan iklim pertama di dunia’.
Satu kajian oleh kolektif penyelidikan antarabangsa Atribusi Cuaca Dunia berkata, model hasil kaji selidik menunjukkan peralihan kecil ke arah lebih banyak kemarau yang disebabkan oleh perubahan iklim di selatan Madagascar, tetapi mengatakan kebolehubahan semula jadi adalah punca utama kejadian kering satu dalam 135 tahun kedua sejak 1992.
Theodore Mbainaissem, yang menjalankan operasi WFP di kawasan yang paling teruk terjejas di selatan Madagascar, berkata, corak cuaca yang pernah menjadi biasa telah berubah sehingga tidak dapat dikenali sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan warga tua di kampung tidak lagi dapat memikirkan masa terbaik untuk menanam atau menuai.
Namun menurutnya, selepas berbulan-bulan susulan bantuan WFP serta beberapa organisasi bantuan lain dan pihak berkuasa tempatan, krisis makanan terburuk di Madagascar menunjukkan perubahan.

Beliau menegaskan, kadar kekurangan zat makanan teruk dalam kalangan kanak-kanak telah menurun daripada kira-kira 30 peratus beberapa bulan lalu kepada kira-kira lima peratus sekarang ini.
“Bila lihat di kawasan kampung, sudah kelihatan kanak-kanak berlari ke kiri dan ke kanan. Itu tidak berlaku sebelum ini” katanya.
Komuniti dan kumpulan bantuan sudah pun cuba melepasi fasa kecemasan dan memberi tumpuan kepada projek yang berpandangan ke hadapan, seperti usaha berskala besar di bandar pantai Faux Cap untuk menstabilkan beting pasir dengan penanaman tumbuhan.

Namun di kawasan luar bandar di mana orang ramai hidup dalam kemiskinan yang teruk, beberapa trend yang menyumbang kepada krisis dan ancaman berkenaan masih wujud.
Bagi Felix Fitiavantsoa, 20, yang baru berkahwin, yang membakar kawasan berhutan untuk mula mengusahakannya, akibat jangka panjang penebangan hutan tiada dalam fikirannya.
Apa yang mendesak ialah keperluannya untuk menanam tumbuhan bagi memberi makan kepada isterinya yang baru dikahwini itu, dan kebimbangan utamanya ialah sama ada hujan akan turun atau sebaliknya supaya dia boleh memulakan aktiviti pertanian di sekitar kawasan rumahnya.
“Jika tiada hujan turun, saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan. Kami akan sentiasa berdoa kepada Tuhan,” katanya. – Agensi




















