Masalah ‘ekonomi gelap’ perlu ditangani segera

- Advertisement -

SAYA ingin merujuk kepada isu ekonomi gelap atau shadow economy yang telah lama wujud dan menyebabkan negara kita telah kerugian sehingga RM300 bilion mengikut dapatan dari Kementerian Kewangan. Saya juga membangkitkan isu ini di dalam soalan saya di Parlimen bagi mendapatkan penjelasan dari pihak kerajaan.

Istilah ‘ekonomi gelap’ merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang dibayar secara tunai tetapi tidak dicatat atau diisytihar untuk cukai. Ini merangkumi hasil daripada rasuah, transaksi perdagangan yang tidak sah. Kesemua aktiviti ini merupakan suatu perlanggaran kepada undang-undang, boleh mengancam keselamatan orang awam, di samping turut menyebabkan ketirisan kepada ekonomi negara.

- Advertisement -

Cabaran terbesar untuk menangani masalah ini adalah kesukaran untuk mengetahui saiz sebenar ekonomi gelap yang menyebabkan ketirisan cukai kepada negara, di samping kekurangan penguatkuasaan untuk menangani sindiket jenayah yang didalangi kumpulan kongsi gelap serta amalan rasuah yang terus menular.

Saya berpendapat bahawa terdapat beberapa langkah boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani masalah ekonomi gelap ini iaitu menggalakkan pembayaran atas talian bagi transaksi perniagaan, mengemaskini pentadbiran sistem percukaian sedia ada dan juga menggunakan sistem big data (data raya) dalam memantau segala transaksi yang boleh dicukai. Langkah-langkah ini boleh mengurangkan ketirisan wang dalam negara dan seterusnya mengelakkan pengaruh ekonomi gelap dari terus berkembang.

Saya berharap usaha keras perlu dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi-agensi lain bagi mengatasi masalah ini memandangkan negara kita dalam fasa pemulihan ekonomi yang memerlukan perbelanjaan wang bukan sedikit bagi memastikan negara kita dalam landasan yang tepat menjadi negara maju.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -