Agrikomoditi: Luaskan adaptasi teknologi moden

- Advertisement -

SAYA ingin menzahirkan ucapan terima kasih terhadap Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Industri Makanan di atas kesudian Yang Berhormat yang telah menjawab soalan saya mengenai isu kebergantungan sektor pertanian negara terhadap sumber dari negara pengeluar khususnya berkaitan input pertanian dan bahan mentah. 

Kebergantungan negara dalam kebanyakan sektor terutamanya sektor makanan merupakan satu tindakan yang tidak mampan (unsustainable) dalam pengeluaran makanan negara. Selain itu, ia turut menatijahkan kesan yang besar terhadap jaminan sekuriti makanan negara apabila berlakunya krisis terhadap negara pengeluar. 

- Advertisement -

Sebagai contoh, penularan pandemik COVID-19, bencana alam dan juga krisis kemanusiaan yang berlaku baru-baru ini melibatkan Ukraine-Rusia yang merupakan antara negara sumber import input pertanian negara, sedikit sebanyak memberi kesan kepada sudut kos rantaian bekalan makanan. 

Justeru, saya menyambut baik langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan oleh Kementerian untuk memperkukuh sektor agromakanan bagi mempertingkat pengeluaran domestik melalui perluasan adaptasi teknologi moden yang mampu mengurangkan kebergantungan terhadap keperluan import sekali gus meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan negara.  

Selain itu, saya melihat kedua-dua Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 atau Pelan Tindakan DSMN merupakan kerangka pelan dasar keselamatan makanan jangka panjang yang amat menyeluruh. Oleh itu, saya amat berharap agar pelaksanaan kedua-dua dasar sekuriti makanan ini berjalan seperti apa yang dirancang agar negara tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada import sumber makanan dari luar pada masa akan datang. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -