
SAYA telah diberi peluang untuk berbahas dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih sempena Titah Diraja Pembukaan Penggal Kelima. Sebanyak 10 projek yang juga merupakan hasrat dan harapan rakyat Setiu sekali lagi diangkat di Dewan Rakyat malah sebahagian besar projek tersebut telah saya bangkitkan berulang kali supaya ia mendapat perhatian yang serius daripada pihak kerajaan.
Antaranya adalah pembesaran Jambatan Sungai Tong yang bernilai RM9.4 juta, menaik taraf stadium mini Sungai Tarom, begitu juga membina bangunan-bangunan baru seperti Kompleks Mahkamah Setiu, balai polis baru serta beberapa buah klinik kesihatan bandar seperti di Bandar Permaisuri, Jabi, dan lain-lain lagi.
Selain itu, saya juga mencadangkan agar sebuah Institut Perguruan Guru (IPG) dibina di Setiu. Pembinaan institusi tersebut akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi rakyat Setiu.
Di samping itu, satu penyelesaian jangka panjang (Long Term Solution) dengan memasang geotektile di kawasan penternakan ikan Kampung Gong Batu juga telah disuarakan bagi menangani isu hakisan pantai yang telah sekian lama berlaku.
Oleh itu, saya berharap agar segala cadangan yang telah dibangkitkan dapat ditunaikan dengan kadar segera dan berharap agar pihak kerajaan tidak sesekali menghampakan hasrat rakyat. Saya akan terus komited mengangkat segala harapan dan keperluan rakyat luar bandar khususnya rakyat Setiu demi kelangsungan serta kemajuan kita bersama.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 16/3/2022











