
SAYA ingin merujuk kepada hasil penyelidikan dari Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) pada awal bulan ini yang menyatakan secara telus mengenai isu kenaikan inflasi yang berlaku di Negeri Terengganu. Saya juga mengambil peluang untuk menyuarakan isu ini di Parlimen pada minggu lepas agar isu ini mendapat perhatian segera oleh pihak berwajib.
Walaupun secara umumnya inflasi Terengganu adalah sama trendnya dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, namun perubahan kadarnya adalah amat membimbangkan dan memperlihatkan peningkatan kos sara hidup yang ketara di negeri ini. Faktanya, kadar inflasi Terengganu telah mengatasi paras inflasi Semenanjung Malaysia sejak Julai 2020.
Bagi tempoh sebelum itu, kadar inflasi Terengganu adalah yang terendah iaitu di kedudukan antara yang kesembilan dan kesebelas berbanding kesemua 11 negeri (atau kumpulan negeri) di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya bermula Julai 2020, kadar inflasi Terengganu termasuk dalam kelompok yang teratas di kedudukan keempat bagi tempoh Julai hingga November 2020, seterusnya di tempat ketiga pada Disember 2020 dan kemudiannya di tempat paling atas sejak Januari 2021. Sekiranya trend ini berterusan, dijangkakan julat perbezaan kadar inflasi Terengganu dan Semenanjung Malaysia akan terus melebar.
Walaupun purata Indeks Harga Pengguna tahunan Terengganu adalah yang terendah dan menunjukkan harga barangan dan perkhidmatan di negeri ini masih rendah berbanding negeri-negeri lain, namun dengan trend inflasi seperti yang dihuraikan sebelum ini, tidak mustahil situasi akan berubah jika masih tiada perhatian dan pendekatan yang munasabah diberikan oleh pihak berkuasa.
Saya berharap jalinan erat dapat dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan untuk menanganinya dengan berkesan dan secara lebih menyeluruh kerana kadar inflasi ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kadar pertumbuhan ekonomi dan kadar pengangguran. Sekiranya tiada langkah wajar diambil segera, saya risau hal ini akan menjejaskan sasaran Kerajaan Negeri Terengganu untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 3.0 peratus hingga 3.4 peratus.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 14/3/2022




















