
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: PAS tetap konsisten dengan keputusan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) walaupun segelintir pemimpin Umno menganggap MN sudah berkubur.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga sekarang PAS tidak pernah membuat keputusan menguburkan MN.
Sebaliknya kata beliau segelintir Umno menganggap sebaliknya dengan menggambarkan MN sudah tiada lagi.
“Walaupun keputusan yang diambil PAS nampak sukar tetapi hubungan MN akan terus diteruskan,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah ketika ditemui di Wisma Darul Aman, semalam.
Menurutnya juga biarpun Umno dilihat bangkit semula pada PRN Johor dan Melaka, namun ia tidak bermakna MN sudah tidak wujud lagi.
Kata beliau Umno bangkit semula di Johor dan Melaka mmemandangkan negeri terbabit merupakan tempat kelahiran Umno.
“Sebelum mereka membubar Dun, sudah tentu diambil kira faktor-faktor yang boleh membawa kemenangan. Sebab itu keputusan Umno bubar Dun Johor tidak dibincang bersama parti-parti yang berada dalam kerajaan sebelum ini,” tegas beliau.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, Umno menggunakan stategi yang sama seperti PRN Melaka memperoleh kemenangan melalui undi teras (saluran satu dan dua).
Sebaliknya kata beliau pengundi 18 tahun lebih 746,000 yang didaftarkan secara automatik tidak ramai keluar mengundi.
“Sedangkan berdasar perkembangan semasa kempen pengundi muda rata-rata memihak kepada PN. Yang didaftar secara automatik tak keluar mengundi.
“Saya berharap mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2022











