
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
PASIR PUTEH: Pembinaan Kompleks Sukan di Bukit Merbau yang lebih dikenali sebagai Madinah Riadhah bermula dengan kerja-kerja membina laluan empat lorong ke lokasi projek tersebut.
Exco Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat berkata, sebanyak RM30 juta diperuntuk bagi membina jalan tersebut sepanjang dua kilometer.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM650,000 bagi pengambilan tanah milik penduduk, sebelum pembinaan kompleks sukan yang dijangka bermula Julai depan.
“Tanggungjawab kerajaan negeri menyediakan jalan masuk ke tapak pembinaan kompleks sukan tersebut. Peruntukannya RM30 juta bagi membina laluan terbabit.
“Laluan ini dijangka siap dalam sebulan dua lagi. Saya berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan jalan sebelum kerja-kerja membina kompleks sukan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke lokasi Kompleks Sukan di Bukit Merbau dekat sini hari ini.
Turut hadir Adun Selising Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Noor Azman Md Nawi dan Jurutera Jajahan Pasir Puteh, Ir Mohd Zahir Zakaria.
Madinah Riadhah akan menjadi lokasi utama penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2026.
Wan Roslan juga berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membina kompleks sukan tersebut yang dijangka bermula Julai depan.
Kompleks sukan itu bernilai RM450 juta dibina di kawasan seluas 66.4 hektar dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026. – HARAKAHDAILY 14/3/2022




















