Cikgu Lan fokus aduan penduduk Tenggaroh

Cikgu Lan menyantuni kanak-kanak yang menyertai program berkhatan di Tenggaroh 3.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional yang bertanding di DUN Tenggaroh, Roslan Nikmat menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat.

Katanya, antara perkara yang diadukan kepadanya ialah masalah jalan yang tidak berlampu terutama di kawasan Felda Tenggaroh.

“Masalah yang diajukan kepada saya ialah jalan yang gelap pada waktu malam terutama di kawasan Felda Tenggaroh, memang betul. Dalam perjalanan saya pergi dan balik itu sangat gelap.

- Advertisement -

“Saya dimaklumkan kerap berlaku kemalangan di kawasan tersebut,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Lan dalam sedutan video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Menurutnya, yang memberitahu masalah itu kepada beliau adalah anak muda yang prihatin mengenai keperluan penduduk setempat.

Beliau mempersoalkan bagaimana pihak yang berwajib sebelum ini tidak memikirkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk itu.

Sehubungan itu, Cikgu Lan akan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah tersebut.

“Bagi saya isu api jalan isu asas, sepatutnya diberikan perhatian sejak dulu lagi. Tapi kalau tahun 2022 jalan masih tak ada lampu, saya rasa lemahlah untuk membantu rakyat,” ujarnya lagi.

Tambahnya, perkara kedua yang dimaklumkan kepada beliau di kawasan Felda Tenggaroh ialah ramai pesakit buah pinggang.

“Di kawasan ini ramai di kalangan penduduk setempat mendapat penyakit buat pinggang, ratusan juga,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

Menurutnya, untuk mendapatkan rawatan mereka terpaksa pergi ke Mersing atau Kota Tinggi.

Bagi beliau, perjalanan itu sangat jauh dari Felda Tenggaroh.

“Jadi apa salahnya kita usaha adakan satu pusat dialisis kepada warga Tenggaroh yang mengidap penyakit buah pinggang.

“Orang yang dapat rawatan dialisis seminggu tiga kali. Jadi saya rasa sangat penting dan mustahak kita dapat usahakan satu pusat dialisis untuk orang di Tenggaroh,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kali ini, Cikgu Lan berdepan dengan Mohd Firdaus Abd Rahman (Pejuang), Zulinah A. Johari (PKR) dan Raven Kumar Krishnasamy (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari mengundi PRN Johor sementara pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 6/3/2022

- Advertisement -