
PARIS: Arab Saudi dan Perancis bersetuju mewujudkan mekanisme kerjasama dua hala antara kedua-dua negara bagi memberi bantuan dan sokongan kepada rakyat Lubnan.
Perjanjian itu dibuat semasa perbincangan antara Menteri Luar Saudi, Putera Faisal Bin Farhan dan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Yves Le Drian di sini pada Isnin (28 Feb).
Kedua-dua Putera Faisal dan Le Drian telah memuktamadkan perjanjian bersama Saudi-Perancis untuk membiayai beberapa projek kemanusiaan di Lubnan, termasuk membiayai beberapa aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang menjalankan kerja amal untuk membantu rakyat Lubnan.
Kerjasama bersama itu termasuklah menyediakan bantuan terus kepada banyak hospital dan pusat penjagaan kesihatan primer di Lubnan.
Ia juga adalah bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan untuk memerangi pandemik Covid-19, serta beberapa kemudahan pendidikan asas di negara itu.
Kerjasama itu juga termasuk membiayai organisasi yang berusaha untuk mengedarkan susu formula dan makanan bayi kepada kumpulan penduduk yang paling terjejas.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua rakan sejawatannya membincangkan penyelarasan dua hala antara kerajaan Saudi dan Perancis mengenai perkembangan terkini di Lubnan dan penderitaan rakyat negara itu daripada keadaan sukar susulan krisis ekonomi dan kemanusiaan yang teruk.
Putera Faisal dan Le Drian turut membincangkan perkembangan krisis semasa di Ukraine susulan serangan Rusia pada 24 Feb lalu.

Kedua-dua pihak turut menekankan keperluan untuk menyokong usaha mencapai penyelesaian politik yang komprehensif kepada krisis Yaman.
Penyelesaian itu mestilah mengikut peruntukan inisiatif Teluk, sebagai tambahan kepada mekanisme pelaksanaannya, hasil dialog nasional yang komprehensif dan resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan, termasuk Resolusi 2216.
Le Drian mengesahkan bahawa Perancis menyokong inisiatif keamanan Saudi yang dibentangkan pada 22 Mac 2021.
Kedua-dua rakan sejawatan itu mengkaji banyak aspek penting lain dalam hubungan Saudi-Perancis dan cara untuk meningkatkannya dalam pelbagai bidang yang melaluinya mereka berkhidmat untuk kepentingan kedua-dua negara.
Selain itu, kedua-dua pihak membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa yang paling menonjol, dan usaha yang telah dilakukan untuk menyokong tonggak keselamatan dan kestabilan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Duta Besar Arab Saudi ke Perancis, Fahd Bin Mayouf Al-Ruwaili dan Ketua Pengarah Pejabat Menteri Luar, Abdul Rahman Al-Daoud. – Saudi Gazette




















