Peniaga tidak jangka banjir berlaku di luar musim

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Ramai peniaga di kawasan Zon Bebas Cukai di Pekan Rantau Panjang tidak menjangka sama sekali banjir berlaku lagi kali ini, memandangkan ia di luar musim.

Kata mereka Pekan Rantau Panjang hampir lumpuh dilanda banjir sejak Sabtu lalu, di mana mereka terpaksa menanggung kerugian agak besar.

Tinjauan Harakahdaily ke kawasan berkenaan hari ini mendapati pekan berkenaan masih lagi digenangi banjir kira-kira 0.5 meter.

- Advertisement -

Malah ada peniaga sedang giat membersihkan premis perniagaaan mereka.

Seorang peniaga tilam, Muhammad Azwan Muhammad, 39 berkata, beliau tidak menjangka banjir berlaku lagi pada Februari memandangkan musim tengkujuh biasanya sudah berakhir pada Januari.

Katanya, beliau terpaksa menanggung kerugian hingga cecah puluhan ribu selepas barangan dan stok perniagaannya musnah akibat bencana alam tersebut.

“Air yang memasuki premis saya mencecah 0.5 meter membuatkan barangan perniagaan rosak ditenggelami air.

“Rata-rata kami tidak menjangkakan akan berlaku banjir seteruk ini memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui.

Peniaga peralatan dapur, Ang Kuantee, 64 turut mengalami perkara sama apabila barangan perniagaannya ditenggelami air.

Beliau berkata, sejak 40 tahun berniaga disini tidak pernah berlaku banjir seperti yang berlaku sekarang.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan termasuk dapur gas dan barangan elektrik lain selepas air naik secara mendadak Sabtu lalu,” katanya.

Beliau dan suaminya Ong Tiong Guan, 68 mulai membersih kedai daripada sisa-sisa banjir. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -