
KOTA BHARU: Kerajaan negeri membuat penyelarasan dan pemantapan gerak kerja bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, langkah segera diambil dengan membuat pengagihan makanan ke pusat penempatan sementara (PPS).
Selain itu agihan wang panjar untuk pengangkutan, sumbangan petrol kegunaan generator elektrik dan agihan saliva test kepada mangsa bergejala.
“Langkah keselamatan serta pematuhan SOP Covid-19 sentiasa dititikberatkan di PPS termasuk membuat pemeriksaan, penjarakan khemah dan pengasingan mangsa yang bergejala.
“Usaha itu bagi mengelakkan perkara-perkara tidak sepatutnya berlaku. Kita memandang serius perkara ini dan membuat penyelarasan gerak kerja operasi di setiap PPS,” katanya pada kenyataan di sini.
Menurutnya juga kerajaan negeri menyambut baik sekiranya ada NGO dan komuniti berminat membuka dapur rakyat di PPS berdaftar dan pusat-pusat sementara.
Kata beliau makanan tersebut boleh dimanfaatkan komuniti yang berlindung di penempatan tersebut.
Katanya mangsa terperangkap di rumah turut dihantar bantuan makanan.
“Bagi fasa selepas banjir, kita akan bekerjasama dengan penghulu-penghulu membuat analisa rumah yang terkena banjir dan tahap kerosakan rumah mereka.
“Selain itu melaksanakan operasi cuci rumah ‘gonyoh gaha’ dengan kaedah dan pemantauan.
“Gerak kerja juga fokus mengelakkan kejadian lemas, persediaan keperluan asas, kawalan Covid-19 dan penyakit bawaan banjir seperti kencing tikus dan kolera,” ujarnya.
Beliau juga berharap orang ramai menjaga keselamatan diri dan keluarga serta patuhi arahan pihak berkuasa di musim banjir sekarang. – HARAKAHDAILY 1/3/2022











