Penduduk dakwa paras banjir lebih tinggi berbanding 2014

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Penduduk di Kampung Serungga dekat sini mendakwa banjir yang berlaku kali ini lebih buruk berbanding 2014.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ros memberitahu pertama kali rumahnya ditenggelami air bah sehingga paras 2 meter sejak berpuluh tahun tinggal di kampung tersebut.

“Sejak malam Sabtu rumah kami mula dinaiki air, saya dan suami langsung tidak tidur kerana terpaksa berjaga melihat keadaan air.

- Advertisement -

“Saya juga risau dengan keadaan cuaca dengan hujan lebat serta angin yang agak kuat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga kampung itu antara lokasi yang paling awal dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, namun paras air kali ini lebih tinggi.

Kata beliau rumah ayahnya Ibrahim Nawang, 73 yang terletak berdekatan turut ditenggelami banjir.

Ros bersama keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan sejak banjir melanda Sabtu lepas.

Sementara itu di Kuala Krai Team Taskforce Kuala Krai dengan kerjasama Pasukan Barra Barracuda Krai menghantar bantuan logistik kepada Pusat Khidmat Adun Mengkebang.

Adun Guchil Hilmi Abdullah berkata, bantuan bekalan makanan dihantar kepada penduduk Kampung Chenulang yang tiga hari terkepung berikutan jalan ke kampung berkenaan ditenggelami air.

Katanya, misi bantuan tersebut turut disertai Pemuda PAS Dun Guchil.

“Semoga semua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat dan diberi kemudahan serta kesabaran dalam menempuh ujian bah banjir gelombang ketiga,” katanya yang turut menyertai misi tersebut.

Adun Mengkebang Muhammad Mat Sulaiman merakam ucapan terima kasih kepada Adun dan Pemuda Guchil, Pemuda PAS serta Penggawa Batu Mengkebang serta penghulu yang terlibat dengan misi bantuan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/2/2022

- Advertisement -