
KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kerana telah memberikan pengiktirafan dan mengangkat Bahasa Melayu dengan menggunakannya dalam setiap urusan rasmi kerajaan di luar negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata usaha dan penekanan Perdana Menteri tersebut wajar diberikan pujian sebagai usaha yang murni bagi memartabatkan Bahasa Melayu dan memperluaskan lagi penggunaannya di seluruh dunia.
“Dalam masa yang sama, penggunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa mampu mengangkat dan memperkenalkan kepelbagaian adat dan budaya yang terdapat di negara kita, sekaligus berupaya mendekatkan lagi hubungan Malaysia dengan negara-negara luar,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, usaha itu perlu digalas bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi juga pihak swasta dan seluruh rakyat sebagai tanggungjawab kepada negara.
“Semoga usaha murni Perdana Menteri mendapat sambutan dan sokongan jitu di semua peringkat bagi memperkenalkan penggunaan Bahasa Melayu dan memartabatkannya di persada antarabangsa,” katanya lagi.
Ismail Sabri pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bangkok kelmarin berkata Malaysia menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Katanya, beliau menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.
“Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu. Rundingan saya di luar negara juga urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2022











