
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Sambutan minggu Al-Quds Sedunia perlu diperluas dalam masyarakat bagi memberi kesedaran kepada anak-anak muda terhadap perjuangan umat Islam di Palestin.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, pembebasan Masjid Al-Aqsa bukan sahaja menjadi tanggungjawab rakyat Palestin.
Malah katanya, peranan itu menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam di seluruh dunia.
“Pelbagai usaha boleh dilakukan antaranya usaha mengumpul dana dan menyampai bantuan berbentuk kewangan kepada rakyat di sana,” katanya pada program di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) selepas solat Maghrib semalam.
Program tersebut diadakan sempena kunjungan rombongan Alternative Riding Club (ARC) dari Kelantan.
Pada program tersebut ARC Kelantan membawa panji Al-Quds sempena sambutan Minggu Al Quds ketika berkunjung ke Perlis.
Sementara itu Pengarah ARC Perlis Mohd Azizi Syam Samsudin berkata, biarpun program seumpama itu nampak kecil, namun ia memberi makna besar bagi membebaskan kiblat pertama umat Islam daripada cengkaman Zionis Israel.
Katanya, sambutan tersebut diadakan Sabtu dan Ahad lepas disertai rombongan ARC Kelantan.
“Panji Al Quds diserahkan ARC Kelantan kepada ARC Perlis sebagai tanda tamatnya konvoi mereka di utara semenanjung,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2022











