
MARAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan permasalahan air yang hadapi oleh penduduk Pekan Awah, Chenor dan kawasan sekitar, di sini.
ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak memberitahu, masalah tersebut telah lama membelenggu penduduk setempat dan beliau berusaha membantu Pengurusan Air Pahang (PAIP) menyuarakan isu itu.
“Pada tahun 2020 saya telah mengutus surat kepada Menteri Alam Sekitar dan Air memohon peruntukan membina Rumah Pam Penggalak bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air dan masalah tekanan air untuk dipam ke Tangki Perkhidmatan Pekan Awah.
“Alhamdulillah, baru-baru ini SPAN melalui kenyataan akhbarnya memaklumkan sejumlah RM20.24 juta peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk PAIP di mana RM3 juta daripadanya adalah untuk penambahbaikan sistem bekalan air di Pekan Awah.
“Kelulusan peruntukan ini mengambil masa sedikit, di mana ketika itu COVID-19 telah mula melanda negara, mungkin atas sebab itu ia tidak dapat dilaksanakan dengan segera dan lancar.
“Jika merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAN itu, sekiranya semua proses berjalan lancar, projek ini dijangka siap tahun ini juga,” ujarnya ditemui ketika mengadakan sesi lawatan ke tapak cadangan membina Rumah Pam Penggalak tersebut, semalam.
Bersama beliau adalah pihak pengurusan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan PAIP Maran serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran di Tangki Air Batu 7, Kampung Awah, di sini.
Berhubung kebenaran menggunakan tapak itu pula, Ustaz Mujibur berkata, beliau difahamkan bahawa setakat ini pihak RISDA tiada halangan untuk membenarkan PAIP menggunakan tapak cadangan berkenaan.
“Tapak cadangan yang kami lawati ini adalah di bawah pemilikan RISDA, jadi surat permohonan kebenaran menggunakannya perlu diajukan segera oleh PAIP kepada pihak berkenaan.
“Bagi saya, tapak itu adalah sesuai kerana ia kawasan kosong, tidak melibatkan laluan jalan dan tiada apa-apa kegunaan di kawasan itu, jadi saya mengharapkan ianya boleh digunakan untuk kepentingan awam.
“Dengan perkembangan terbaru ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri KASA, Menteri Kewangan, Menteri Besar Pahang dan PAIP serta semua yang terlibat di atas keprihatinan dan usaha berterusan mereka dalam menangani isu air di sini,” ujarnya.
Turut sama dalam sesi lawatan tapak cadangan itu ialah Kuasa Usaha Pengurusan Projek PAIP, Ir Mohd Shahrul Effendy Ahmad dan Penolong Pengarah Kanan RISDA, Ts Dr Muhammad Firos Mustaffa.
Juga Pengurus RISDA Semaian, Md Isa Rasip serta Penolong Pegawai Tanah Pejabat Daerah dan Tanah Maran, Mohd Amirul Azim Isa. – HARAKAHDAILY 24/2/2022




















