Infrastruktur tentera Ukraine jadi sasaran serangan Rusia

Asap hitam kelihatan dari lapangan terbang tentera Ukraine di Chuguyev dekat Kharkiv yang terletak berhampiran sempadan Rusia. - Gambar AFP
- Advertisement -

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata Rusia menjadikan infrastruktur tentera dan pengawal sempadan sebagai sasaran dalam serangan awal, tetapi menggesa rakyat tidak panik dan bersumpah untuk mencapai kemenangan.

Dalam mesej video melalui laman sosial Facebook, Zelenskyy, juga mengumumkan pelaksanaan undang-undang tentera di seluruh negara dan memaklumkan sudah berhubung melalui telefon dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

- Advertisement -

Kementerian Pertahanan Rusia pula mengesahkan bahawa tentera negara itu mensasarkan infrastruktur tentera Ukraine.

“Infrastruktur tentera, kemudahan pertahanan udara, lapangan terbang tentera dan tentera udara Ukraine sedang dimusnahkan dengan senjata ketepatan tinggi,” dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita Rusia.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin, melancarkan penaklukan berskala penuh.

“Putin baru saja melancarkan penaklukan berskala penuh terhadap Ukraine. Bandar Ukraine yang aman kini diserang.

“Ini adalah peperangan agresif. Ukraine akan mempertahankan diri dan akan menang. Dunia boleh dan mesti menghentikan Putin. Sekarang adalah masa untuk bertindak,” kata Kuleba.

Berminggu-minggu berdiplomasi dan ancaman Barat mengenakan sekatan gagal menghalang Putin yang menghimpunkan antara 150,000 hingga 200,000 tentera di sempadan Rusia dan Ukraine.

“Saya telah membuat keputusan untuk melancarkan operasi tentera,” kata Putin dalam perutusan televisyen mengejut yang meningkatkan ketegangan di seluruh dunia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy

Sementara itu, letupan kedengaran di ibu negara Ukraine, Kyiv, menjelang subuh hari ini dan beberapa bandar lain berdekatan barisan hadapan dan sepanjang pantai negara itu.

Letupan dilaporkan berlaku di bandar pelabuhan Laut Hitam, Odessa yang berdekatan wilayah dikuasai pemisah Ukraine dan berhampiran kawasan negara itu yang diduduki Rusia, Crimea.

Bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv, yang terletak hanya 35 kilometer di selatan sempadan Rusia juga dilaporkan berlaku letupan.

Berhampiran zon peperangan di timur Ukraine, empat letupan kedengaran di Kramatorsk, yang menjadi pusat pentadbiran kawasan timur kerajaan Ukraine.

Siri letupan juga dilaporkan berlaku di Mariupol, bandar pelabuhan Laut Azoz yang menjadi jambatan darat antara Rusia dan Semenanjung Crimea, wilayah Ukraine yang ditawan Rusia. – TRTWorld

- Advertisement -