
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad telah mengumumkan kadar Agihan Keuntungan Tabung Haji (TH) tahun 2021 sebanyak 3.1 peratus, sebentar tadi.
Menurut beliau, kadar agihan oleh TH tersebut adalah kompetitif dan lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu sebanyak 2.36 peratus.
“Dengan rasa penuh kesyukuran kepada Allah S.W.T, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa TH akan mengagihkan sebanyak RM2.46 bilion sebagai Agihan Keuntungan TH 2021 kepada 8.4 juta pendepositnya.
“Dengan jumlah ini, Kadar Agihan Keuntungan TH 2021 kepada pendeposit adalah sebanyak 3.10 peratus,” ujar beliau dengan turut memaklumkan pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta.
Menurutnya, selain mendapat keberkatan membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji, pendeposit juga beroleh barakah melalui program zakat yang diatur TH.
Beritahunya, pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus TH.
Kadar diumumkan itu menyamai tahun lalu dan lebih baik dari tahun sebelumnya 2019 (3.05 peratus) di mana pada tahun 2018 mencatat kadar terendah dalam sejarah iaitu 1.25 peratus ketika negara ditadbir Pakatan Harapan. – BERNAMA




















