
RIYADH: Saudi Aramco berminat untuk menggunakan teknologi kecerdasan pintar atau artificial intelligence (AI) di semua kemudahannya, termasuk di pusat penyelidikan berkaitan projek yang boleh mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Aramco, Yasir Al-Rumayyan ketika berucap pada Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC) 2022 pada Ahad (20 Feb) berkata, syarikat konglomerat Arab Saudi itu juga sedang berusaha membangunkan teknologi yang berkaitan dengan mengurangkan pelepasan karbon, dan berminat dengan teknologi nano, yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos.
Menurut Al-Rumayyan, Aramco mempunyai rancangan pelaburan jangka panjang dan berharap untuk menggunakan minyak dan gas baharu melalui banyak sumber, dan melalui rizab yang dimilikinya dengan tujuan untuk menjadi peneraju dari segi ekonomi hidrokarbon.
“Dunia telah mengambil pengajaran daripada kesan pandemik Covid-19 tentang erti ketabahan. Dunia kini sedang menyaksikan tahap pemulihan daripada wabak itu,” katanya sambil memuji usaha yang dilakukan oleh Aramco dalam mengurangkan pelepasan karbon dan berusaha ke arah mencapai pelepasan sifar.
Beliau juga turut memuji usaha pekerja syarikat gergasi berkenaan yang berjaya mencipta beberapa inovasi dalam banyak bidang termasuk teknologi sehingga berjaya menjadikan Aramco sebagai sebuah kilang idea.
“Persidangan Teknologi Petroleum Antarabangsa akan membincangkan banyak idea inovatif berkaitan industri petroleum dan juga akan membincangkan teknologi dan idea baharu dengan tujuan untuk mempunyai pelepasan sifar,” tambah Al-Rumayyan.
Beliau menekankan kepentingan mewujudkan industri berdasarkan penyelesaian masalah dan menyediakan penyelesaian yang diperlukan dunia ketika ini. – Saudi Gazette




















