
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Projek Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 kilometer dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang dijangka bermula pembinaan pada April depan.
Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menyiapkan lebuh raya tersebut.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Abdul Rahman Yunus berkata, kesediaan kerajaan Pusat mengambil alih projek tersebut melegakan rakyat Kelantan.
Katanya, komitmen kerajaan negeri sebelum ini membina jajaran lebuh raya tersebut bermula 2012 membuktikan kesungguhan bagi menyediakan jalan raya lebih sempurna bagi kemudahan rakyat.
“Bagaimanapun disebabkan kos begitu tinggi menyebabkan kerajaan terpaksa menyerahkan kepada kerajaan Pusat bagi menyiapkan jalan tersebut,” katanya di sini.
Sabtu lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed memberitahu lebuh raya dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab dijangka bermula pembinaan April.
Menurutnya projek tersebut merupakan sebahagian kompenan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang melibatkan jajaran sepanjang 67.56 km dengan anggaran kos sebanyak RM2.7 bilion.
Kerajaan negeri sebelum ini melalui kontraktor yang dilantik membina laluan tersebut termasuk kerja-kerja tanah, lokasi rehat dan rawat (R&R) serta pembinaan jambatan.
Mustapa berkata, pembinaan yang dilaksanakan kerajaan negeri sudah siap kira-kira 35 peratus.
“Ketika ini projek itu di peringkat penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di tapak projek di Kampung Che Arus Kok Lanas, Ketereh dekat sini.
Projek lebuh raya tersebut dijangka siap pada 2025 dan akan bersambung dengan projek Central Spine Road (CSR) yang bermula di Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 21/2/2022




















