
Oleh BASITH SAMAD
KINABATANGAN: Pemerintahan di bawah kerajaan Islam tidak pernah meminggir rakyat agama lain, malah mereka diberi peranan sama-sama menggembleng tenaga bagi memajukan negara.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Hishammudin Abdul Karim berkata, situasi itu terbukti di Kelantan dan Terengganu di mana kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk kaum Cina, India dan Siam.
Malah katanya pemimpin bukan Islam dilantik sebagai pegawai khas Menteri Besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“PAS sebagai sebuah jemaah Islam bekerja untuk menyatukan ummah yang merentasi pelbagai bangsa dan agama,” katanya pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Tawau kelmarin.
Menurutnya juga PAS Sabah boleh memainkan peranan serupa bagi menghakis pandangan penduduk tempatan terhadap PAS sebagai parti Semenanjung.
Bagaimanapun kata beliau sehingga sekarang pemimpin Sabah dilihat memainkan peranan cemerlang bagi mengangkat syiar dan menonjolkan identiti PAS dalam masyarakat.
“Perkara ini dapat dilihat melalui program pendidikan di bawah PAS termasuk PASTI, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).
“Selain itu agenda kebajikan yang dipelopori Jabatan Amal Malaysia serta Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan,” ujarnya.
Selain itu katanya pelantikan Dr Aliakbar Gulasan sebagai Adun Sabah dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama di Dewan Undangan Negeri.
“Dr Aliakbbar memainkan peranan besar mewajahkan PAS sebagai sebuah parti yang profesional dan tidak rasis seperti yang dimomokkan pihak tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2022











