
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Anggota Exco Kerajaan Kelantan, Dr Izani Husin yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akibat jangkitan Covid-19, hari ini dipindahkan ke wad biasa.
Beliau disahkan positif Covid-19 pada Isnin lepas dan dirawat di HRPZ II Kota Bharu sejak Selasa.
Menurut anaknya, Muhammad Shahid sebelum ini ayahnya dimasuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit.
“InsyaAllah ayah akan dipindahkan ke wad biasa hari ini setelah tiga hari ayah dimasukkan ke ICU,” katanya ketika dihubungi.
Manakala ibunya Rosmarina Yusof dibenarkan pulang ke rumah malam tadi berikutan kesihatannya semakin baik.
Sabtu lepas Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri pada kenyataan memberitahu Dr Izani disahkan positif Covid-19 dan dirawat di HRPZ II sejak Selasa lepas.
“Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan dan memudahkan urusan kita semua. Terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan demi kebaikan bersama,” kata kenyataan itu.
Muhammad Shahid turut merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan kedua ibu bapanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2022











