
PARIS: Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, Joe Biden dan Vladimir Putin, bersetuju secara prinsip untuk menyertai sidang kemuncak mengenai isu Ukraine.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata sidang kemuncak tajaan negaranya akan diadakan dengan syarat Moscow tidak menyerang Ukraine.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Elysee (kediaman rasmi Presiden Perancis) hari ini, sidang kemuncak itu akan diperluaskan kepada pihak berkepentingan untuk membincangkan `keselamatan dan kestabilan strategik di Eropah’.
Sehubungan itu, kenyataan itu menyebut bahawa persediaan mengadakan sidang kemuncak akan dilakukan mulai Khamis ini.
Rumah Putih pula menyatakan bahawa Presiden Biden menerima secara prinsip sidang kemuncak dengan rakan sejawatnya, Putin dari Rusia, selepas menteri luar kedua-dua negara bertemu minggu depan dan jika serangan terhadap Ukraine tidak berlaku.
“Ketika ini, Rusia kelihatan meneruskan persediaan dalam skala besar-besaran untuk menyerang Ukraine tidak lama lagi,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki.
Perancis usahakan sidang kemuncak
Pengumuman sidang kemuncak ini dikeluarkan selepas panggilan telefon Macron dengan kedua-dua pemimpin kuasa besar itu.
Ketegangan semakin memuncak dalam tempoh seminggu lalu berikutan langkah Rusia meningkatkan kehadiran tentera di sempadan Ukraine.
Malah, tiada tanda keadaan semakin reda dengan Kementerian Pertahanan Belarus, negara sekutu Rusia, mengumumkan bahawa latihan tentera kedua-dua negara yang sepatutnya berakhir semalam, akan diteruskan.
Imej satelit juga menunjukkan penempatan baharu armor dan tentera Rusia berhampiran Ukraine.
Rumah Putih juga memberitahu bahawa Biden membatalkan perjalanan ke Delaware untuk terus kekal di Washington berikutan mesyuarat dua jam di Majlis Keselamatan Kebangsaan AS.
Imej satelit syarikat Maxar yang berpangkalan di AS, melaporkan terdapat beberapa penempatan unit tentera Rusia di hutan, ladang dan kawasan industri yang hanya terletak kira-kira 15 kilometer dari Ukraine.
Mengikut Maxar, perkembangan itu menunjukkan perubahan berbanding apa yang dilihat sepanjang beberapa minggu lalu.
“Keadaan ini berbeza berbanding sebelum ini dengan kebanyakan penempatan adalah di atau berhampiran kedudukan tentera atau kawasan latihan tentera,” kata syarikat berkenaan.
Ketegangan di sempadan
Negara Barat bimbang dengan ketegangan yang semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu dengan kehadiran lebih 150,000 tentera Rusia berhampiran sempadan Ukraine.
Moscow menegaskan tidak merancang menyerang Ukraine, tetapi tidak senang dengan hasrat Ukraine untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Moscow menuntut jaminan bertulis bahawa negara jiran itu tidak akan dibenarkan menyertai NATO, pakatan ketenteraan diketuai AS. – REUTERS




















