
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Johor mendakwa pihaknya berdepan taktik kotor dari pihak musuh yang cuba membawa mesej palsu, bahawa PAS tidak menerima Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, poster samaran itu digantung di beberapa lokasi awam mendakwa PAS tidak berminat dengan PN dan mahukan Muafakat Nasional (MN).
“Antara kekangan kami di sini adalah berlaku serangan musuh, apabila terdapat poster dan banner kecil yang membuat kempen penyemaran atau kempen palsu.
“Kononnya, orang PAS tidak mahu kepada PN, orang PAS mahu MN, dan PAS Kawasan Sri Gading sendiri telah buat laporan polis berhubung isu ini,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily, di sini.
Menurut Ahmad Nawfal, situasi sama turut berlaku di kawasan lain dan beliau mengangap ini satu taktik yang sangat tidak bertanggungjawab.
Katanya, beliau tidak menyangka taktik sedemikian masih digunakan segelintir pihak kini, dan yakin ia adalah satu sikap yang tidak digemari rakyat.
“Kita yakin, sikap beginilah yang membuatkan anak muda benci (politik). Jadi, anak muda perlu tahun undi mereka sangat penting untuk buang orang yang buat kerja politik kotor begini,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Nawfal, antara kekangan lain yang dihadapi dalam berdepan PRN Johor adalah, keluasan Negeri Johor itu sendiri yang sangat luas.
Katanya, dengan 26 kawasan membabitkan 56 kerusi Dewan Undnagan Negeri (DUN) di negeri itu, pihaknya perlu bergerak dengan laju, peka dan pantas.
“Kerja PRN ini satu kerja yang perlu laju, peka, pantas, dan semuanya dalam konteks yang sangat perlukan kesegeraan. Memang satu kekangan untuk kita, tetapi kita melihat media sosial sebagai satu kelebihan hari ini.
“Oleh itu, kita manfaatkan dengan memastikan capaian itu lebih luas, kita buat live streaming, live forum dan sebagaianya. Jadi, capaian ini yang akan membantu mengatasi kekangan itu,” katanya lagi.

Sementara itu, pada 9 Febuari lalu, PAS Kawasan Sri Gading membuat laporan polis berhubung demonstrasi sebuah kumpulan tidak dikenali yang menyamar sebagai ahli PAS. Tindakan itu menyebabkan PAS Sri Gading dituduh mengadakan demonstrasi tanpa permit. – HARAKAHDAILY 18/2/2022




















