UMMAH sokong tindakan Mufti Perlis pertahan akidah Islam

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Tindakan Mufti Perlis, Dato Mohd Asri Zainol Abidin mempertahankan akidah dua kanak-kanak yang memeluk Islam secara suka rela walaupun masih mumaiyiz dilihat sebagai satu tindakan berani.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohd Zai Mustafa, berkata pihaknya menyokong penuh tindakan Mohd Asri itu dan menganggap pilihan dua kanak-kanak itu perlu dihormati dan dipertahankan.

- Advertisement -

“Kes melibatkan pertukaran agama ayah mereka, Nagahswaran Muniandy secara sepihak dan mengizinkan anak mereka memeluk islam secara sukarela adalah pilihan mereka yang perlu dihormati dan dipertahankan.

“UMMAH menyeru NGO (badan bukan kerajaan) Islam, pemimpin Islam serta umat Islam di negara ini agar bersatu mempertahankan akidah tiga orang kanak kanak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Asri, beliau difahamkan, bapa mereka, Nagahswaran pada Julai 2020 membuat keputusan untuk memeluk Islam di Perlis dengan bawa tiga orang anaknya tanpa ibu mereka, Loh Siew Hong.

Nagahswaran kemudian menyerahkan ketiga-tiga anaknya kepada sebuah pusat pengajian Islam sebelum disabitkan bersalah dan dipenjarakan atas tuduhan melibatkan dadah.

Bagaimanapun, pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan hak penjagaan mutlak kepada Loh.

Mengulas kes berkenaan, Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang, P. Ramasamy mendakwa kes berkenaan membabitkan penculikan dan paksaan untuk memeluk Islam oleh pihak berkuasa agama Perlis.

Menurut Mohd Zai, Kenyataan P Ramasamy merupakan satu kenyataan yang melampau, melulu dan mengambarkan sikap anti Islam.

Katanya, dakwaan Ahli Parlimen DAP itu menggambarkan dirinya tidak menghormati agama Islam, sensitiviti kaum serta anti perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

“Kita akan bertindak mengikut perundangan yang ada di negara ini. UMMAH juga bersedia menjadi pencelah sekiranya kes ini akan dibicarakan di mahkmah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2022

- Advertisement -