
SYDNEY: Instruktor menyelam British berusia 35 tahun dikenal pasti sebagai individu yang maut dalam serangan jerung di pantai di sini, kelmarin.
Simon Nellist, yang berhijrah ke Australia enam tahun lalu, maut di Pantai Little Bay, kira-kira 20 kilometer selatan bandar terbesar di Australia, ketika menjalani latihan untuk menyertai pertandingan renang amal hujung minggu ini.
Bekas anggota Tentera Udara Diraja United Kingdom, Nellist menganggotai kelab renang skuba tempatan dan sering berenang di pantai ini. Bagaimanapun, polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung identiti mangsa.
Pihak berkuasa juga memasang rantai bebola yang digunakan untuk mengumpan jerung berhampiran tempat kejadian, manakala dron dan helikopter terbang untuk mencari haiwan itu jika masih berada berhampiran pantai.
Datuk Bandar Randwick, Dylan Parker, berkata jerung itu kelihatan tiada lagi berhampiran kawasan pantai dan membenarkan beberapa pantai dibuka selepas ditutup semalam, termasuk Pantai Bondi yang terkenal.
Kejadian jerung menyerang pengunjung di pantai bandar ini jarang berlaku kerana pihak berkuasa memasang jaring jerung untuk mengurangkan risiko serangan haiwan itu. Namun, tiada penghalang sepenuhnya antara perenang dan jerung.
Kejadian Rabu lalu adalah kali pertama berlaku di sini sejak 1963. – REUTERS




















